Oleh Lenna N.B.
SOAL tidak mampu atau kemiskinan, seperti yang kita ketahui sering menjadi antara isu utama yang dihadapi oleh masyarakat seluruh dunia.
Brunei, turut tidak terlepas daripada isu tersebut apabila masih adanya masyarakat yang kurang berkemampuan dalam negara ini. Mereka masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan, badan-badan kebajikan serta sokongan daripada orang-orang sekitarnya.
Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini, adalah dengan mendorong aktiviti keusahawanan. Justeru itu, sama ada yang kita ketahui secara langsung atau tidak langsung, melalui media sosial, media cetak dan sebagainya, kita dapat melihat bagaimana usaha pihak kerajaan mendukung masyarakatnya bagi mempergiatkan aktiviti-aktiviti keusahawanan ini.
Tambahan lagi, dijangka dalam masa yang panjang, ia mampu memperkembangkan ekonomi negara serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Projek 1K1P
Dengan harapan dapat mengubah keadaan masyarakat agar menjadi rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela berjarih dan berkarih, hingga mendorong ke arah kematangan dan sikap berdikari iaitu keupayaan masyarakat ke arah ‘sara diri’, projek 1 Kampung 1 Produk (1K1P), adalah salah satu platform yang diperkenalkan di negara ini sekitar tahun 1990an bagi tujuan tersebut.



Di samping itu, ia dapat menjana ekonomi Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK), di mana ia memberi peluang lebih ramai lahirnya usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana dalam memperkembangkan ekonomi mereka.
Melalui projek itu, setiap kampung di seluruh daerah masing-masing mengusahakan produk-produk penduduk yang dapat dipasarkan dalam pasaran tempatan sama ada berbentuk makanan, kraftangan, herba-herba tradisional, produk kecantikan dan sebagainya.
Kejayaan di sebalik projek ini, jelas dapat disaksikan semasa Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Brunei Darussalam Ekspo 2017 yang telah dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada baru-baru ini, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di mana ia berlangsung selama lima hari berturut-turut bermula pada1 hingga 5 November lalu.
Ekspo tersebut mengetengahkan kira-kira 80 penyertaan pengusaha-pengusaha dari Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dari keempat-empat daerah yang mempamerkan produk makanan, seni kraf tangan anyaman dan pembuatan, produk-produk kesihatan dan sebagainya.
Menariknya ekspo ini turut melibatkan pengusaha-pengusaha 1K1P dari luar negara, khususnya Sabah, Sarawak, Jepun, Korea, China dan negara-negara ASEAN yang lainnya.
Penglibatan kampung-kampung
Ekspo 1K1P Brunei Darussalam 2017 secara keseluruhannya mengetengahkan tiga aktiviti utama, iaitu aktiviti gerai jualan satu kampung satu produk sekaligus mempromosikan perkhidmatan dan produk-produk yang diusahakan oleh setiap kampung di keempat-empat daerah, termasuklah pelancaran logo baru 1K1P; sesi pembinaan atau pembentukan rangkaian antara pembeli-pembeli sama ada persendirian, syarikat-syarikat tempatan atau luar negara, setentunya membantu dari segi pemasaran produk kepada sasaran pelanggan yang lebih tepat dan efisien dan yang ketiga, adalah aktiviti seminar dan taklimat daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi memperluaskan ilmu pengetahuan serta kemahiran para pengusaha 1K1P.



Setentunya gerai atau tapak jualan 1K1P menjadi tarikan utama di sepanjang ekspo tersebut.
Gerai-gerai jualan dibahagikan mengikut kawasan daerah. Manakala, setiap daerah pula diwakili oleh kampung-kampung yang masing-masing mempunyai produk-produk mereka.
Antara kampung-kampung yang terlibat di kawasan Daerah Brunei Muara adalah Kampung Tungku dan Katok, Kampung Sungai Kebun, Kampung Pudak, Kampung Kawasan 2 RPN Rimba, Kampung Sengkurong ‘B’, Kampung Lugu dan Katimahar, Kampung RPN Panchor Mengkubau, Kampung Bebuloh, Kampung Sungai Matan, Kampung Pulau Baru-Baru, Sungai Bunga dan Tanjong Kindana, Kampung Jerudong, Kampung Kawasan 2 RPN Mentiri, Kampung Putat, Kampung Kapok, Kampung Limau Manis, Kampung STKRJ Lambak Kiri, Kampung Sengkurong A dan Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.
Manakala kampung-kampung yang terlibat dari Daerah Tutong pula adalah Kampung Tanjong Maya, Kampung Penapar, Kampung Sengkarai, Kampung Panchong, Kampung Telisai, Kampung Bukit Udal, Kampung Bukit, Kampung Penanjong, Kampung Luagan Dudok, Kampung Sungai Kelugos, Kampung Danau, Kampung Bukit Panggal, Kampung Supon, Kampung Lamunin, Kampung Bukit Beruang, Kampung Kiudang, dan Kampung Padnunok.
Daerah Temburong turut tidak ketinggalan menyemarakkan ekspo, dengan penglibatan Kampung Menengah, Kampung Tanjung Bungar, Kampung Belais dan Buda-Buda, Kampung Lepong Baru, Kampung Batang Tuau, Kampung Senukoh, Kampung Amo, Kampung Rataie, Kampung Puni, Kampung Lepong Baru, Kampung Selangan, Parit dan Biang Menengah, Kampung Piasau-Piasau, Kampung Sumbiling dan Kampung Batu Apoi.
Sementara itu, Daerah Belait pula mengetengahkan produk-produk dari Kampung Mumong, Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut I dan II, Kampung Bukit Sawat, Kampung STKRJ Lorong 3 Selatan Seria dan Kampung Pekan Kuala Belait.




Uniknya, masyarakat rumah-rumah panjang turut ikut serta dalam gerai jualan 1K1P dari Daerah Belait iaitu Rumah Panjang Mendaram Besar Kampung Labi II, Rumah Panjang Melilas, dan Rumah Panjang Bang Taong @ Apak-Apak Kampung Sukang yang kebanyakannya mengetengahkan produk-produk kraftangan anyaman bersumberkan batang-batang dan kulit-kulit kayu menampilkan khazanah tradisi yang masih hidup hingga ke hari ini.
Keistimewaan makanan 10 negara
Selain gerai jualan 1K1P, Media Permata turut tertarik dengan gerai-gerai makanan di ruang banquet Pusat Persidangan Antarabangsa yang mengetengahkan makanan-makanan dari 10 negara, iaitu Jepun dengan hidangan takoyaki, China dengan hidangan mi dan cenai (seakan-akan roti canai berinti), Malaysia dengan pulut durian dan minuman buah-buahan mereka, Thailand yang mengetengahkan makanan jalanan bandar Bangkok, Filipina membawa hidangan aiskrim Halo-Halo, Indonesia dengan keunikan kebabnya, Laos dengan keenakan Pun Yohnya, yang berbentuk seperti popia, Korea Selatan dengan hidangan-hidangan tradisi Korea seperti Tteokbokki, Bulgogi, Kimchi, Gimbap dan sebagainya, Vietnam dengan kelazatan mi supnya dan Brunei Darussalam dengan hidangan tradisi ambuyat yang masih menjadi kesukaan orang Brunei hingga ke hari ini.
Menerokai negara-negara ASEAN
Istimewanya, selaku pengunjung 1K1P Brunei Darussalam 2017 Ekspo ini telah membawa kita mengembara mengenali negara kitani yang setiap kampung mempunyai khazanah seni budaya mereka sama ada dari makanan, kraf tangan dan sebagainya.
Dari penerokaan setiap kampung dalam setiap daerah, ekspo itu turut membawa kita meneroka negara-negara jiran yang terlibat sekali gus ke negara-negara ASEAN melalui hidangan makanan negara-negara tersebut yang setentunya mempunyai keunikan yang tersendiri.