Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Variasi pulut hidangan pembuka selera

    ENAKNYA aneka masakan pulut sebagai hidangan pembuka selera, pelengkap menu seisi keluarga mahupun menjamu tetamu yang datang berkunjung.

    Selain ianya mudah untuk diperoleh, disediakan dan digemari ramai, pulut juga boleh dipelbagaikan cita rasanya dari tradisional hingga moden. Bagi memenuhi cita rasa semua, kali ini dikongsikan beberapa sajian pulut yang setentunya mampu mengembalikan nostalgia ketika menikmati hidangan ini di kampong.

    Onde-onde

    Bahan-Bahan:

    300 gram tepung pulut

    1 biji kelapa parut (1/2 biji inti dan ½ lagi digaul bersama dengan onde-onde)

    1 keping gula Melaka atau kerek manisan

    3 cawan air pandan

    1 sudu teh air kapur

    Secubit garam

    Cara membuat :

    Campurkan sedikit air dalam gula Melaka atau kerek manisan, panaskan atas api. Setelah gula cair sepenuhnya masukkan kelapa parut, sedikit garam dan gaul rata sehingga menjadi inti. Bulat-bulatkan inti sebesar ibu jari. Ketepikan. Bancuh tepung pulut dengan air pandan, air kapur dan sedikit garam, uli hingga sebati. Ambil sejemput adunan, letakkan inti di dalamnya dan bulatkan doh. Buat sehingga selesai. Panaskan air di dalam periuk, bila air mendidih masukkan onde-onde. Bila timbul angkat dan tos airnya. Golekkan di atas kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

    Bubur pulut hitam

    Bahan-bahan:

    250 gram pulut hitam

    1 biji kelapa dan ambil santannya yang pekat.

    2 helai daun pandan

    1 keping gula Melaka

    Gula pasir secukupnya

    Air secukupnya

    Cara membuat:

    Cuci pulut hitam dan masak dengan air secukupnya. Simpan sedikit santan pekat selebihnya masukkan dalam pulut hitam. Masukkan juga gula Melaka, gula pasir dan daun pandan. Kecilkan api, kacau sehingga bubur pekat dan secukup rasa. Masukkan sedikit santan pekat di atas bubur semasa dihidangkan.

    Pulut kuning dan rendang daging

    Bahan pulut:

    1 kg pulut

    1 keping asam keping

    2 sudu kecil serbuk kunyit

    3 cawan santan pekat

    Sedikit garam dan gula

    Bahan rendang:

    1 kg daging yang dihiris nipis

    10 ulas bawang merah yang dikisar

    10 ulas bawang putih yang dikisar

    2 cm lengkuas yang dikisar

    2 cm halia yang dikisar

    3 batang serai yang dikisar

    3 sudu makan cili kering

    2 helai daun kunyit yang dimayang halus.

    1 sudu makan ketumbar yang digoreng, disangai dan dikisar.

    1 sudu makan jintan manis yang digoreng, disangai dan dikisar.

    1 sudu makan jintan putih yang digoreng, disangai dan dikisar.

    1 kg santan pekat

    4 sudu makan kerisik

    Sedikit air asam jawa

    Garam secukupnya

    Minyak secukupnya

    Cara membuat:

    Cuci dan rendam pulut semalaman bersama asam keping dan serbuk kunyit. Tos dan kukus lebih kurang 20 minit, angkat dan gaulkan bersama santan yang dicampurkan dengan garam dan gula. Kukus semula lebih kurang lima hingga ke tujuh minit dan kemudian angkat. Sementara itu, panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan daging dan kacau hingga keluar air. Bila air kering masukkan santan dan biarkan daging empuk. Kecilkan api dan sentiasa kacau. Masukkan gula Melaka, kerisik, air asam jawa, garam dan akhiri dengan daun kunyit, Angkat dan hidangkan dengan pulut kuning.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda