Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Varieti hidupan liar di New York gamit hati pengunjung

    NEW YORK – Dari haiwan koyote di Bronx sehinggalah rubah merah di Queens, rakun di Manhattan, burung hantu di Brooklyn dan rusa di Pulau Staten, hidupan liar kelihatan berada berkeliaran di hutan bandar New York.

    Tetapi kewujudannya tidaklah semudah yang dilihat, antara berjuta-juta ekor haiwan liar (lebih 600 spesies haiwan liar) dan sekitar 8.5 juta manusia yang berada di bandar raya itu yang sememangnya sudah terkenal dengan bangunan pencakar langitnya, papan-papan tanda neon dan kehidupan bandar yang tidak pernah tidur.

    Jika warga New York itu mesra haiwan, cinta mereka terhadap haiwan liar itu boleh sahaja membawa masalah apabila seekor koyote menerjah masuk ke sebuah rumah haiwan peliharaan, seekor rusa memakan tanaman tomato atau seekor rakun menyelerakkan sampah sarap di sepanjang jalan.

    Hidupan liar telah meningkat di New York selama kira-kira 30 tahun, yang mempunyai taman seluas 11,735 hektar, di mana aktiviti memburu adalah dilarang dan mempunyai beberapa haiwan pemangsa di sana, kata Jason Munshi-South, penolong profesor biologi di Universiti Fordham.

    Dia telah membuat kajian tentang primat di Borneo dan gajah-gajah di Gabon. Namun kini, dia adalah seorang pakar dalam bahagian kehidupan haiwan di ibu kota kewangan Amerika Syarikat (AS), sebuah bandar yang paling ramai penduduk di Amerika Utara.

    Renjer Taman Bandar Raya New York, Adriana Caminero (kanan) dan A. Duran (Tengah) sedang menerangkan kepada peminat-peminat hidupan liar mengenai anjing laut yang mereka saksikan berhampiran Pantai Orchard. – AFP
    Renjer Taman Bandar Raya New York, Adriana Caminero, menyaksikan anjing laut dengan menggunakan teropong pemantau berhampiran Pantai Orchard. – AFP

    Dia menganggarkan bahawa terdapatnya ribuan ekor rakun hidup di New York, sekurang-kurangnya 100 daripadanya berada di Central Park, bersama dengan beberapa ribu rusa dan 50 ekor koyote nomadik, kebanyakannya berada di Bronx, walaupun haiwan-haiwan tersebut kadang-kadangnya berkeliaran di tempat lain.

    Apabila bercakap mengenai kehidupan marin, anjing laut kelihatan berjemur di permukaan batu Teluk Pelham di Bronx dan ikan paus sekali sekala muncul di permukaan air di perairan sekitar Queens.

    Setiap musim bunga, burung jenis ‘piping plover’, dianggap spesies terancam di New York dan beberapa negeri di AS mula tiba di Pantai Rockaway dan membuat sarang di sana.

    “Walaupun anda tidak pernah melihat seekor koyote, ia sendiri akan nampak anda!” kata renjer taman, Kayla Mackey, berusia 25 tahun, memberitahu kepada salah sebuah kumpulan penduduk di bengkel ‘hidup bersama dengan koyote bandar’ di taman Bronx baru-baru ini, pada Ahad lalu.

    Mackey menjelaskan bahawa tiada sebab untuk merasa takut terhadap haiwan koyote, yang sukar untuk ditemui kerana ia bergerak senyap pada waktu malam. Oleh itu, lebih baik menjaga jarak anda dan tidak memberi makan kepadanya.

    Jika ada yang cuba menghampiri, dia menasihati agar orang ramai akan ‘bertindak segera’. Selepas taklimat itu, kumpulan itu pun memulakan perjalanan yang panjang untuk menemui sebarang koyote atau sekurang-kurangnya dapat menjejaki tapak atau najisnya.

    “Koyote tidak memakan manusia. Manusia bukanlah sebahagian daripada diet pemakanan hariannya,” kata Mackey bersama teropong di lehernya, memberitahu sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa yang menyertai kumpulan itu.

    “Kita perlu memberikan orang ramai alat untuk hidup bersama dengan hidupan liar ke arah yang lebih baik. Jika anda tidak mengetahui, bahawa kira-kira 2,000 ekor rusa berada di Pulau Stalen dan jika anda memandu laju, anda mungkin akan melanggar salah seekor rusa tersebut,” jelas Richard Simon, pengarah unit hidupan liar di bandar berkenaan.

    Sepasang angsa Brant dilihat terbang bebas berhampiran Pantai Orchard. – AFP
    Seekor rakun kelihatan berehat di dalam geronggang sebuah pokok berhampiran dengan Pantai Orchard di New York. – AFP
    Apabila bercakap mengenai kehidupan marin, anjing laut kelihatan berjemur di permukaan batu Teluk Pelham di Bronx dan ikan paus sekali sekala muncul di permukaan air di perairan sekitar Queens. – AFP
    Mackey menjelaskan bahawa tiada sebab untuk merasa takut terhadap haiwan koyote, yang mana sukar untuk ditemui kerana ia bergerak senyap pada waktu malam. Oleh itu, lebih baik menjaga jarak anda dan tidak memberi makan kepadanya. – AFP

    New York telah menubuhkan unit itu pada akhir tahun 2016 dan telah melaksanakan sebuah program untuk mensterilkan kira-kira 95 peratus populasi rusa jantan Pulau Staten, kira-kira 1,100 haiwan mengikut anggaran Simon.

    “Apabila adanya masalah, ia biasanya berasal daripada manusia itu sendiri, bukan haiwan tersebut,” kata Munshi-South. “Haiwan tersebut biasanya bersendirian setiap masa.”

    Simon menegaskan bahawa “bandar raya ini cukup luas bagi haiwan dan manusia.” Kadang-kadang, katanya, warga setempat membuat panggilan telefon dan meminta agar haiwan-haiwan tersebut ‘dikembalikan semula ke alam semula jadi.”

    “Tetapi tidak ada tempat untuk membawa haiwan-haiwan tersebut. Ia boleh tinggal di sini sekarang,” tegasnya. Sekiranya ada orang yang merasa takut apabila mereka ternampak seekor koyote dan menelefon 911, pihak polis akan bertanggungjawab untuk bertindak balas.

    Mereka akan cuba menangkapnya. Ada juga yang dibunuh. Dalam satu kempen mega di bandar raya itu baru-baru ini, gambar haiwan-haiwan liar telah dipaparkan bersebelahan dengan tempat tumpuan warga New York dan menggesa orang ramai agar tidak memberikan makanan kepadanya.

    “Tidak ada sebab untuk memberi makanan ‘hot dog’ atau pretzel kepada seekor tupai,” kata Simon.

    Memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut boleh mengakibatkan hilangnya ketakutannya kepada manusia. Mungkin boleh berlaku serangan ke atas manusia. Beberapa rakun di Central Park boleh sahaja menjadi agresif dan cuba mencuri makanan daripada orang yang lalu-lalang.

    “Sesetengah penduduk setempat merasa terkejut, mereka memberitahu kepada saya ‘oh, saya menyangka kita hanya mempunyai tikus di sini,” kata Munshi-South.

    “Apabila kami sedang melakukan kerja-kerja di taman ini pada musim panas dan ianya sungguh panas, terdapatnya nyamuk yang begitu banyak, tidak jauh berbeza daripada apa yang kami lakukan semasa berada di Borneo,” katanya sambil bergurau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda