Velodrom Johor akan siap sepenuhnya

ISKANDAR PUTERI, 19 FEB – Velodrom Johor yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung April ini, akan menjadi tempat bagi lapan acara berbasikal trek Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata lapan acara berkenaan ialah pecut, pecut berpasukan, 500 meter ujian masa, keirin, perlumbaan  scratch, kejar-mengejar individu, kejar-mengejar berpasukan dan omnium.

“Acara berbasikal trek Sukma Johor 2020 akan berlangsung dari 17 hingga 19 Julai, dan 16 pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita ditawarkan dalam acara berkenaan.

Sementara Trek BMX yang terletak bersebelahan stadium ini menawarkan dua pingat emas bagi acara Lumba BMX 350 meter ka-tegori lelaki dan wanita,” katanya kepada pemberita semasa melawat Velodrom Johor dan Trek BMX, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Johor 2020, On Jabbar @ Ja’afar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz. Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata Velodrom Johor yang merupakan velodrom pertama dibina di negeri ini, kini siap 92.45 peratus dan pembinaannya mendahului jadual asal yang ditetapkan.

“Trek BMX pula siap 61.68 peratus dan ia juga dibina mendahului jadual yang ditetapkan. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 31 April,” katanya. – Bernama

Mohd Khuzzan Abu Bakar membuat lawatan ke Velodrom, tempat acara berbasikal trek Sukma Malaysia (Sukma) Johor 2020, Julai nanti. – Bernama