CARACAS, 1 Mei – Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di jalan raya ibu negara Venezuela semalam, didorong oleh gesaan daripada pemimpin pembangkang Juan Guaido yang meminta tentera supaya bangkit menentang Presiden Nicolas Maduro – yang berkata beliau telah mematahkan satu percubaan merampas kuasa.
Satu percubaan yang dirancang dengan teliti oleh Guaido untuk menunjuk perasaan terhadap sokongan tentera yang semakin meningkat bertukar menjadi rusuhan tatkala kepulan asap hitam naik ke udara di timur Caracas.
Petang semalam, Maduro mengisytiharkan kemenangan ke atas pemberontakan, mengucapkan tahniah kepada angkatan bersenjata kerana berjaya “menewaskan kumpulan kecil ini yang berniat menyebar keganasan menerusi pertempuran kecil.”
“Ia tidak akan terlepas tanpa hukuman,” kata Maduro dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen dan radio.
“Pendakwa akan melancarkan pendakwaan jenayah terhadap jenayah serius yang telah dilakukan ke atas perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan hak berdamai.”

Guaido telah menerima sokongan daripada Amerika Syarikat, di mana Presiden Donald Trump berkata dalam Twitter bahawa Washington menyokong rakyat Venezuela dan “kebebasan” mereka.
Beliau menyampaikan ucapan kepada penyokong dengan perutusan video awal pagi yang menunjukkan beliau, untuk pertama kalinya, bersama tentera bersenjata yang dikatakan oleh beliau telah mematuhi seruan berbulan-bulan lamanya untuk menyertai kempen beliau untuk menyingkir Maduro.
Pemimpin Perhimpunan Agung berusia 35 tahun itu digambar di luar pangkalan tentera La Carlota, di mana beliau meminta angkatan bersenjata supaya menyertai beliau.
Video tersebut mempunyai nilai tambahan mengejutkan yang memaparkan tokoh pembangkang Leopoldo Lopez di sisi beliau, berkata tentera telah membebaskan beliau daripada penahanan dalam rumah bertahun-tahun lamanya.
Guaido mendakwa tindakan itu merupakan “permulaan berakhirnya” rejim Maduro, dan tidak adanya pengunduran atau langkah berpatah balik. – AFP