Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Venezuela kecam AS atas kes ‘penculikan’ kanak-kanak

    CARACAS, 29 APRIL – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro kelmarin telah menuduh Washington melakukan jenayah dalam kes yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang telah dipisahkan daripada kedua ibu bapanya dan dihantar pulang ke negara asal mereka, tanpa membawa anak mereka.

    Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) menyatakan kanak-kanak itu telah ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bagi melindunginya daripada ibu bapanya, yang didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah dadah Venezuela, Tren de Aragua.

    “Ini adalah satu jenayah, dari sudut mana sekalipun, merampas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun daripada seorang ibu migran hanya kerana dia seorang pendatang haram dan rakyat Venezuela,” kata Maduro dalam rancangan televisyen mingguannya kelmarin.

    Dalam satu kenyataan kelmarin, Kementerian Luar di Caracas mengecam ‘penculikan oleh pihak berkuasa AS terhadap kanak-kanak Venezuela bernama Maikelys Antonella Espinoza Bernal, berusia dua tahun’ dan menuntut agar dia segera dikembalikan kepada ibu bapanya.

    Di bawah pemerintahan Presiden AS Donald Trump, DHS telah melaksanakan tindakan keras terhadap pendatang, dengan menghantar pulang ribuan pendatang haram, yanag kebanyakannya didakwa tidak mempunyai dokumen sah serta membatalkan status sah pendatang lain. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda