Thursday, January 9, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Venezuela tahan tujuh warga asing dituduh jadi askar upahan

    CARACAS, 8 JAN – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, kelmarin mengumumkan penahanan tujuh warga asing, termasuk dua rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dituduhnya menjadi askar upahan yang cuba menghalangnya daripada mengangkat sumpah sebagai presiden bagi tempoh enam tahun lagi.

    Maduro mendakwa warga AS tersebut, dua pembunuh upahan dari Colombia dan tiga askar upahan dari perang di Ukraine terlibat dalam rancangan ‘melakukan keganasan’ yang tidak dinyatakan menjelang pelantikannya yang dijadualkan pada Jumaat.

    “Saya yakin bahawa dalam beberapa jam akan datang mereka akan mengaku,” kata Maduro dalam siaran televisyen negara, sebelum mengumumkan pengerahan besar-besaran pasukan polis dan tentera di seluruh negara.

    Pengumuman penahanan rakyat AS itu dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden Joe Biden mengalu-alukan calon pembangkang Venezuela dalam buangan, Edmundo Gonzalez Urrutia, di AS.

    Dalam pertemuan tersebut, Biden menyokong pemindahan kuasa secara damai kembali kepada pemerintahan demokrasi di Venezuela dan memberikan amaran terhadap penindasan lebih lanjut di dalam negara tersebut.

    AS dan beberapa negara jiran Venezuela yang berpegang pada demokrasi percaya bahawa Gonzalez Urrutia memenangi pilihan raya presiden pada bulan Julai dengan majoriti besar dan keputusan rasmi telah dipalsukan. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda