Venezuela tangkap 39 orang di sempadan Colombia

CARACAS, 15 MEI – Venezuela kelmarin mengumumkan bahawa tenteranya telah menangkap 39 orang yang meninggalkan tentera di sempadan Colombia, dengan mengatakan bahawa mereka adalah sebahagian dari rancangan gagal untuk menggulingkan presiden Nicolas Maduro baru-baru ini.

“Kami telah menahan 39 orang yang cuba memasuki sempadan Colombia,” Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino memberitahu stesen televisyen negara.

Padrino berkata mereka yang ditangkap ‘terlibat dalam skim jeneral’ untuk menggulingkan Maduro, mengaitkan mereka dengan pencerobohan dari arah laut yang gagal dua minggu lalu yang dikatakan Caracas disokong oleh Amerika Syarikat dan Colombia.

Penangkapan kelmarin telah menjadikan keseluruhannya kepada 91 orang, dalam apa yang dikatakan oleh Venezuela adalah serangan yang gagal.

Serbuan itu – yang dituduh oleh Maduro Rabu lalu adalah dirancang oleh Rumah Putih – menyaksikan lelaki mendarat pada awal Mei di Macuto, kurang dari satu jam dari Caracas.

Lapan penyerang dilaporkan terbunuh dalam insiden itu.

Antara tahanan adalah dua orang bekas tentera AS, Luke Denman, 34, dan Airan Berry, 41, yang telah dipenjarakan dan didakwa dengan ‘pengganas, konspirasi, pemerdagangan senjata dan persatuan (jenayah) secara haram.’ Mereka boleh menghadapi hukuman penjara antara 25 hingga 30 tahun. – AFP