VENICE – Ketika paras air yang semakin meningkat sehingga mencetuskan kebimbangan Venice suatu hari nanti mungkin akan tenggelam sepenuhnya, kanak-kanak tempatan dididik tentang cara melindungi lagun, dengan ekosistem rapuh yang diancam oleh perubahan iklim.
Di Torcello, sebuah pulau yang terletak di bahagian utara lagun, kira-kira 40 orang kanak-kanak berusia lima tahun baru-baru ini menghadiri pembelajaran luar di pantai yang dilanda kerosakan akibat ombak daripada bot bermotor yang memandu laju di Venice.
“Kami mahu kanak-kanak belajar untuk memerhati lagun dan alam semula jadi, belajar memahaminya, mencintainya dan belajar cara melindunginya dengan lebih baik,” kata penyelaras program Francesca Santoro.
Venice merupakan diantara bandar yang luar biasa di dunia, sebuah tapak warisan UNESCO yang menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun.
Mercu tanda Dataran St Mark kerap dibanjiri oleh ‘acqua alta’, kejadian air tinggi disebabkan oleh air pasang luar biasa, memberikan suasana bergambar yang baik untuk pelawat tetapi mengancam asas bandar.



UNESCO pada 2021 memberi amaran bahawa ia mungkin meletakkan Venice dalam senarai bandar yang terancam, mengatakan terdapat keperluan untuk menguruskan jumlah pelancong.
Meninggikan penghalang
Projek itu merupakan sebahagian daripada program pendidikan UNESCO yang dilancarkan pada 2019, ditaja oleh jenama fesyen mewah, Prada. Digelar ‘Sea Beyond’, ia didedikasikan untuk pemeliharaan laut dan melibatkan pelajar sekolah di seluruh dunia.
Skim Venice disokong oleh pengarah penyelidikan di institut sains marin ISMAR-CNR Venice, Georg Umgiesser, yang percaya pengalaman langsung seperti ini dengan lagun akan membantu orang ramai memahami kesan peningkatan paras air.
“Akibat keadaan banjir di Venice dan air yang semakin meningkat, purata paras laut telah meningkat sebanyak 30cm dalam tempoh 150 tahun yang lalu dan dijangka meningkat sebanyak 50cm lagi menjelang akhir abad ini,” katanya kepada AFP.
Dataran St Mark, yang terletak di bahagian paling bawah bandar, merupakan bandar pertama yang sering dilanda banjir, kata ahli oseanografi Jerman, yang telah tinggal di bandar Itali selama 40 tahun. Dia memberi amaran bahawa “Pada 2100, separuh daripada Venice berisiko ditenggelami air.”
Sistem pertahanan banjir MOSE yang lama ditunggu-tunggu telah dilaksanakan sejak Oktober 2020, meninggikan penghalang untuk melindungi lagun apabila perairan di Laut Adriatik mencapai 110 sentimeter di atas paras normal.
Tetapi sistem tersebut dibangunkan pada tahun 1980an, sebelum peningkatan pemanasan global. Namun, terdapat persoalan sama ada ia cukup untuk melindungi Venice dalam dekad yang akan datang.
“MOSE direka untuk menghalang maksimum 50 kali setahun,” kata Umgiesser. “Jika paras laut terus meningkat pada kadar ini, dari 2100, ia perlu menghalang 300 hingga 400 kali setahun.”
Bertindak sekarang
Pada ketika itu, lagun pada dasarnya akan ditutup, menghalang pertukaran air dengan laut, yang penting untuk biodiversiti.
Penyelesaian lain adalah untuk meninggikan Venice sebanyak 30 hingga 50cm dengan mengepam air laut ke dalam asas bandar, tetapi buat masa ini idea ini kekal sepenuhnya secara teori.
Sementara itu, ketua badan bukan untung alam sekitar We Are Here Venice, Jane da Mosto, bergantung pada paya garam di lagun untuk memperlahankan acqua alta dan meredakan arus.
Memulihkan tanah lembap ini, yang musnah akibat perubahan iklim dan pembandaran, boleh menjadi penyelesaian semula jadi kepada masalah Venice, katanya.
“Paya garam bertindak sebagai span, jadi ia boleh memperlahankan cara air mengalir ke lagun,” kata da Mosto.
Tetapi dia menambah, “Ia adalah perlumbaan dengan masa. Kami perlu bertindak sekarang, apa yang kami lakukan hari ini adalah penting.
“Kami berada dalam kecemasan iklim, malapetaka sudah berlaku,” katanya. – AFP

