Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Maju Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal kenderaan jenama Volkswagen menampilkan kereta Volkswagen Vento yang diperbaharui, menyerlahkan rekaan terkini lebih bergaya.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan bampar hadapan dan gril radiator dengan rekaan trim strip krom yang membuatkannya lebih menyerlah dari segenap segi.
Vento juga didatangkan dengan lampu depan rekaan 3D, cermin luaran yang mempunyai kod warna untuk memudahkan isyarat membelok bagi memastikan pemandu lain dapat melihat keberadaan pemandunya sama ada semasa menukar lorong atau memasuki persimpangan.
Dikuasakan dengan enjin 1.6 MPi dengan transmisi automatik Tiptronik enam kelajuan, Vento mampu menjimatkan penggunaan bahan api, manakala ciri keselamatannya turut dimantapkan dengan kawalan layaran dan sensor undur di samping ciri-ciri keselamatan lain.
Vento baharu juga dilengkapi pemegang stereng kulit multi-fungsi bagi memastikan pengendalian selesa semasa pemanduan.
Bahagian infotainmennya diserlahkan dengan pelbagai kemudahan untuk muzik, radio dan telefon yang mampu diuruskan dengan baik, dengan sokongan bagi penyambungan USB, slot SD Card, AUX-IN serta Bluetooth.
Bagi bahagian penyimpanan, ia cukup besar dengan kapasiti mencapai 494 liter dan mampu diperluaskan lagi dengan melipat kerusi di bahagian belakang, sesuai untuk percutian panjang.
