JAKARTA, 18 Julai – Venue Sukan Asia akan siap sebelum Indonesia menjadi tuan rumah acara berprestij itu sebulan dari sekarang, menurut pihak penganjur tetapi ancaman serangan pengganas dan kesesakkan lalu lintas menghantui kejohanan besar itu.
Sekumpulan buruh bekerja keras untuk menyiapkan kerja-kerja pembangunan, melebarkan jalan dan menanam pokok bagi mencantikkan Jakarta, sebuah bandar metropolis di mana para pelawat sukar untuk tidak menikmati bandar itu.
Perkampungan atlet kelihatan sudah siap tetapi para peserta perlu berdepan dengan sungai yang agak berbau dan toksik.
Jakarta dan Palembang di Sumatera akan menjadi tuan rumah kepada 11,000 atlet dan 5,000 kakitangan daripada 45 negara-negara Asia pada 18 Ogos sehingga 2 September, acara sukan terbesar sebelum Olimpik.
Selain kompleks skuasy yang masih belum siap, sebahagian besar venue dilihat sudah hampir siap.

Stadium utama Gelora Bung Karno yang digunakan apabila Indonesia kali terakhir menganjurkan acara sukan itu pada 1962, masih dalam pengubahsuaian untuk acara yang menelan belanja AS$2 bilion.
“Saya rasa semua venue, apa yang saya lihat, 95 peratus siap pada penghujung Julai ini,” menurut ketua penganjur, Erick Thohir, taikun media yang menjadi pengerusi kelab bola sepak Inter Milan, minggu lepas.
Indonesia memiliki masa yang singkat daripada kebanyakan negara-negara penganjur. Negara itu bersetuju untuk menjadi tuan rumah apabila Vietnam menarik diri sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai persediaan dan beban kewangan yang besar.
Kemudian, Jakarta mengganjakkan acara yang merangkumi 40 acara sukan itu pada 2018 bagi mengelakkan pertembungan dengan pilihan raya. – AFP