AUCKLAND, 1 Jan – Venus Williams menyambut ulang tahun ke-25 sebagai pemain profesional dengan menewaskan Victoria Azarenka dalam perlawanan tiga set bagi hari kedua WTA Auckland Classic hari ini.
Dalam pertembungan antara dua bekas pemain nombor satu dunia itu, Williams menundukkan Azarenka dengan keputusan 6-3, 1-6, 6-3.
Perlawanan yang berlangsung selama dua jam 10 minit menyajikan aksi yang mantap tetapi catatan sembilan ace Azarenka tidak mencukupi.
Kebolehan Williams pada permulaan perlawanan memberikannya peluang untuk berada di depan pada set pertama sebelum Azarenka menang pada set kedua.
Pada set penentuan, perlawanan itu melalui dua break bagi setiap pemain dalam enam perlawanan awal sebelum Williams berada di depan dengan kelebihan 5-3 dengan pukulan cross-court apabila Azarenka berada di tepi gelanggang.
“Saya suka kerja saya, saya suka apa yang saya buat tetapi perlawanan malam ini tidak mudah dan mungkin salah satu pusingan pertama yang paling sukar yang pernah saya hadapi,” kata Williams.
“Sasaran saya adalah untuk melepasi pusingan pertama, anda lihat saya berdepan dengan siapa dan kami memerlukan perlawanan seperti ini menjelang Terbuka Australia,” katanya, merujuk kepada Grand Slam pertama bagi tahun ini yang akan bermula kurang dua minggu dari sekarang.
“Sekarang saya berharap pusingan seterusnya akan lebih mudah bagi saya.”
Juara bertahan, Julia Goerges mudah melepasi perlawanan pertama selepas menundukkan Johanna Larsson, 6-0, 6-4 sementara pilihan kelima, Barbora Strycova terpaksa untuk bertarung dalam tiga set untuk mengatasi Taylor Townsend. – AFP