WASHINGTON, 25 JULAI – Kepulangan semula Venus Williams ke gelanggang tenis berakhir secara mengejut dalam pusingan 16 terakhir Terbuka DC kelmarin, apabila pemain veteran Amerika Syarikat (AS) itu tewas kepada pemain Poland, Magdalena Frech, dalam straight set.
Juara tujuh kali Grand Slam perseorangan berusia 45 tahun itu, yang beraksi minggu ini buat kali pertama dalam tempoh 16 bulan, mencatat sejarah sebagai wanita tertua memenangi perlawanan WTA dalam lebih dua dekad selepas menewaskan Peyton Stearns dalam pusingan pertama pada Selasa.
Namun, Williams berdepan cabaran lebih sukar dalam pertemuan pusingan ketiga menentang pemain pilihan kelima, Frech, apabila tewas 6-2, 6-2 dalam masa 1 jam 13 minit.
Walaupun begitu, Williams menyatakan dia tetap berpuas hati dengan kepulangannya ke saingan tenis kompetitif.
“Saya rasa sangat seronok,” kata Williams. “Bukan keputusan yang saya mahukan (tetapi) saya dapat bermain banyak perlawanan, itu satu kelebihan. Saya benar-benar gembira…

“Saya kehabisan tenaga hari ini, malangnya… Maaf kerana gagal mara lebih jauh. Tapi saya tahu, saya boleh bermain lebih baik dan saya pasti akan bermain lebih baik,” tambah Williams yang dijangka beraksi dalam Terbuka Cincinnati bulan depan selepas menerima penyertaan wild card.
Frech akan menentang pemain pilihan ketiga, Elena Rybakina, dalam suku akhir hari ini.
Frech menguasai set pertama dengan persembahan mantap apabila memecahkan servis Williams pada permainan kelima untuk mendahului 3-2.
Pemain Poland itu kemudian mengekalkan servis untuk mendahului 4-2 dan sekali lagi memecah servis apabila servis Williams mula goyah pada permainan ketujuh.
Pemain AS itu melakukan dua double fault berturut-turut, memberikan Frech tiga mata break dan pemain Poland itu segera memanfaatkan peluang pertama untuk mendahului 5-2 sebelum menamatkan set dengan kemenangan.
Williams sekali lagi bergelut dalam set kedua apabila tersasar jauh dalam pukulan smash rutin pada permainan pertama, memberi dua peluang break kepada Frech.
Frech memanfaatkan peluang itu untuk meraih break dan mendahului 1-0, sebelum mengekalkan servis bagi kedudukan 2-0.
Williams berjaya mengekalkan servis untuk 2-1 tetapi gagal mencabar servis Frech dalam permainan keempat, membolehkan pemain nombor 24 dunia itu mendahului 3-1.
Kepelbagaian pukulan Frech terus menimbulkan kesukaran kepada Williams dalam permainan seterusnya dan dua pukulan forehand panjang yang liar daripada pemain veteran itu menyebabkan dia sekali lagi kehilangan servis untuk ketinggalan 4-1.
Ketika permainan mula terlepas daripada genggaman, Williams mula bermain dengan lebih bebas dan menemui rentaknya untuk mematahkan servis lawan dan merapatkan kedudukan kepada 4-2.
Namun kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Frech sekali lagi memecahkan servis dalam permainan ketujuh untuk mendahului 5-2 dan kemudiannya mengekalkan servis bagi memastikan kemenangan. – AFP