WASHINGTON, 21 JULAI – Venus Williams akan kembali beraksi di Kejohanan Terbuka DC minggu ini selepas berehat selama 16 bulan, namun juara tujuh kali Grand Slam dalam acara perseorangan itu berkata kelmarin, bahawa dia belum pasti mengenai apa-apa selepas kejohanan tersebut.
Pemain berusia 45 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu menghadapi masalah kesihatan yang serius tahun lalu dan selepas mengadakan kunjungan ke Wimbledon baru-baru ini, dia memutuskan untuk menerima wildcard ke kejohanan di ibu negara AS, yang merupakan kejohanan pemanas badan pertama di gelanggang keras menjelang Terbuka AS.
“Saya rasa saya tahu apa yang saya mahu lakukan, tetapi saya tidak selalu mahu bercakap tentangnya,” kata Williams. “Saya hanya berada di sini untuk sekarang. Dan siapa tahu? Mungkin banyak yang menunggu. Saya lebih suka merahsiakan perancangan saya, tetapi buat masa ini, saya hanya fokus pada kejohanan ini.”
Williams akan membuka aksi pertamanya menentang pemain muda AS berusia 23 tahun, Peyton Stearns, yang kini berada di ranking ke-34 dunia. Stearns memenangi satu-satunya gelaran WTA miliknya di gelanggang tanah liat Rabat tahun lalu.
Kakak kepada juara Grand Slam 23 kali ini, Serena Williams, tidak beraksi sejak tewas pada pusingan pertama di Miami tahun lalu.
“Matlamat peribadi saya sekarang adalah untuk berseronok dan menikmati detik ini, tanpa memberi terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri,” kata Venus Williams.
“Saya tak pasti bagaimana hendak mendefinisikan kejayaan ketika ini, selain daripada percaya pada diri sendiri dan berpegang pada proses saya. Itu bukan sesuatu yang mudah, terutama selepas lama tidak beraksi. Jadi itulah matlamat saya.”
Venus Williams, yang memenangi pingat emas perseorangan di Sukan Olimpik Sydney 2000, memiliki lima gelaran perseorangan Wimbledon dan dua gelaran Terbuka AS.
Kejayaan terakhir daripada 49 gelaran WTA yang dimenanginya adalah di Terbuka Taiwan pada 2019 – tahun terakhir dia bermain dalam jadual penuh jelajah profesional. – AFP
