Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Venus Williams mahu jadi yang terbaik menjelang Terbuka AS

    LONDON, 24 OGOS – Venus Williams berkata dia kini lebih bersemangat berbanding sebelum ini untuk beraksi di Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat, menjelang kepulangannya ke kejohanan grand slam, lapor PA Media/dpa.
     
    Pemain dari AS itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 pada Jun lalu dan tidak beraksi dalam kejohanan utama sejak dua tahun lepas di Flushing Meadows, namun beliau telah menerima tiket ‘wildcard’ untuk penampilan ke-25 di New York.
     
    Williams mara ke perlawanan akhir pada penampilan sulungnya pada 1997, jauh sebelum ramai pesaingnya sekarang lahir, manakala tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-25 kejuaraan perseorangan pertamanya.
     
    “Amat mengujakan untuk kembali,” kata Williams, yang akan menentang pilihan ke-11, Karolina Muchova, di Stadium Arthur Ashe pada Isnin.
     
    “Ia tidak pernah membosankan, malah semakin mendebarkan. Saya benar-benar menantikan perlawanan malam Isnin ini.”
     
    Venus Williams menjawab soalan dalam sidang media di Pusat Tenis Kebangsaan USTA Billie Jean King pada 23 Ogos di Bandaraya New York. – AFP
    Bulan lalu, Williams meraih kemenangan pertamanya selepas hampir dua tahun apabila menewaskan Peyton Stearns di Washington, namun kali terakhir beliau mencatat kemenangan di grand slam adalah lebih empat tahun lalu.
     
    “Saya mahu menjadi yang terbaik dan itu adalah harapan saya terhadap diri sendiri, untuk mempamerkan yang terbaik daripada diri saya – itulah yang diharapkan mana-mana pemain. 
     
    “Saya tidak banyak bermain berbanding pemain lain, jadi ia adalah cabaran yang berbeza. 
     
    “Jadi, saya cuba untuk berseronok, kekal tenang dan mencapai tahap terbaik pencapaian peribadi saya,” katanya ketika ditanya mengenai sasaran dalam kejohanan kali ini.
     
    Masih belum dapat dipastikan sama ada ini penampilan terakhir Williams di kejohanan itu, namun beliau menegaskan tidak berhasrat menggantung raket dalam masa terdekat. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda