Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Venus Williams rai kemenangan sulung selepas berehat 16 bulan

    WASHINGTON, 23 JULAI – Venus Williams kembali beraksi dalam acara perseorangan dengan penuh bergaya selepas berehat selama 16 bulan apabila menewaskan rakan senegaranya, Peyton Stearns 6-3, 6-4 pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka DC, kelmarin.
     
    Juara tujuh kali Grand Slam perseorangan itu, yang kini berusia 45 tahun, mencatat kemenangan ke-819 dalam kariernya di kejohanan WTA selepas beraksi selama 97 minit dalam kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka Amerika Syarikat.
     
    “Bukan mudah untuk kembali selepas sekian lama dan bermain perlawanan yang sempurna,” katanya. “Peyton bermain dengan sangat baik. Saya rasa seperti perlu memperlahankan rentak permainan agar tidak terlalu tergesa-gesa.”
     
    Kali terakhir Williams beraksi dalam perlawanan perseorangan WTA adalah pada Mac tahun lalu di Miami, dan ini merupakan kemenangan pertamanya sejak 709 hari lalu – kali terakhir dia menang ialah menewaskan pemain Rusia, Veronika Kudermetova pada pusingan pertama di Cincinnati, Ogos 2023.
     
    “Saya hanya mahu bermain dengan baik dan menang,” katanya. “Ia amat memuaskan untuk kembali selepas berehat panjang dan mengalami kecederaan.”
     
    Venus Williams tampil dengan sangat cemerlang di Kejohanan Terbuka DC setelah menewaskan Peyton Stearns, dalam aksi perlawanan kepulangannya semula ke gelanggang selepas 16 bulan berehat. – AP
    Venus Williams membalas pukulan semasa aksi menentang Peyton Stearns dalam Kejohanan Mubadala Citi DC Open 2025, pada 22 Julai. – AFP
    Williams kini memegang rekod sebagai pemain tertua yang beraksi dalam perlawanan bertaraf jelajah WTA sejak Kimiko Date dari Jepun pada usia 46 tahun di Tokyo pada 2017. Beliau juga menjadi pemenang perlawanan WTA tertua sejak Martina Navratilova yang memenangi perlawanan di Wimbledon pada usia 47 tahun pada 2004.
     
    “Terima kasih atas sokongan awda semua,” katanya kepada penonton. “Kita seolah-olah hidup dan mati bersama dalam perlawanan ini.”
     
    Williams memecah servis Stearns untuk mendahului 4-3 dalam set kedua dan memenangi sembilan daripada 10 mata dalam satu tempoh. Dia kemudian mengekalkan servis untuk mendahului 5-3 dan mengasak Stearns dalam permainan ke-9 yang berlangsung selama 12 minit tetapi gagal memanfaatkan empat mata kemenangan sebelum Stearns memegang servisnya.
     
    Akhirnya, Williams meraih kemenangan menerusi servis kencang pada mata kemenangan keenam, sekali gus melayakkan diri ke pusingan kedua menentang pilihan kelima dari Poland, Magdalena Frech.
     
    “Saya kembali ke sini kerana dorongan daripada pasukan saya yang mahu saya bermain semula. Jadi sebahagian besar daripada kejayaan ini adalah untuk awda semua,” katanya kepada penonton.
     
    “Awda semua tidak tahu betapa banyak kerja keras diperlukan untuk ini. Ia seperti bekerja sembilan ke lima, tetapi sepanjang masa awda berlari, angkat berat, hampir pengsan – dan kemudian ulang semula keesokan harinya.” – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda