MILAN – Donatella Versace mempamerkan koleksi yang penuh yakin dan bergaya semasa Minggu Fesyen Milan baru-baru ini berikutan spekulasi bahawa rumah fesyen tersebut mungkin dijual di pasaran.
ENGGAN MENGULAS
Versace melambai kepada orang ramai pada penghujung pentas pertunjukan bagi Musim Luruh-Sejuk 2025-26, enggan mengulas lanjut walaupun syarikat fesyen Itali lain telah menyatakan minat terhadap empayar fesyen yang diasaskan pada 1978 oleh arwah abangnya, Gianni Versace.
BERLINDUNG DARI KESEJUKAN
Pertunjukan itu berlangsung di pentas yang panjang di depoh trem Milan. Para tetamu termasuk Ice Spice disediakan tempat duduk dengan selimut panas untuk berlindung dari musim sejuk. Sesuai dengan tema, persembahan pertama menampilkan puffer berkuilt tebal dalam gabungan cetakan corak haiwan dan Medusa sebagai pembalut, skirt mini bergelung dan gaun seperti couture.
Model bertumit tinggi menggayakan busana di atas pentas, dengan penuh yakin dan anggun.
DAYA TARIKAN
Versace mempamerkan daya tarikan yang unik dengan gaun satin bertali pinggang dan dipakai dengan blazer mewah berwarna hitam, atau kolar leher penyu.
Kemeja fabrik sutera dalam cetakan arkib dipadankan dengan skirt berlisu hitam yang menutup kaki dan seluar kulit hitam. Kedua-duanya dilengkapi dengan sarung tangan hitam bertatahkan batu permata berkilauan.
Korset berbentuk seperti kon ais krim, berwarna-warni bertentangan dengan warna asas dalam pakaian hitam. Ia dipakai dengan skirt kembang dan but tapak tebal, atau seluar sekali gus menyerlahkan penampilan wanita anggun.
KUASA WANITA
Gaun berantai untuk wanita dan baju untuk lelaki kelihatan usang, dengan jaringan logam dan kristal ditampal seolah-olah diperbaiki semula. Penampilan itu digandingkan dengan topi pepaku yang diikat pada dagu.
Kisah yang diceritakan oleh Versace pada minggu fesyen itu adalah revolusi dan ketabahan.
Di pentas pertunjukan, tiada apa-apa yang lebih istimewa daripada seluar hitam dengan baju terdedah pada bahagian belakang, bercorak ringkas dengan tali pinggang perak dan gelang tebal. – AP