BERLIN – Apabila Michael Bommer mengetahui bahawa dia menghidap kanser kolon, dia menghabiskan banyak masa bersama isterinya, Anett, bercakap tentang apa yang akan berlaku selepas kematiannya.
Isterinya memberitahunya, salah satu perkara yang akan paling dirindunya ialah dapat bertanya bila-bila masa dia mahu kerana dia (Boomber) banyak membaca dan sentiasa berkongsi pengetahuannya, kata Bommer semasa temu bual baru-baru ini dengan The Associated Press di rumahnya di pinggir bandar Berlin.
Perbualan itu mencetuskan idea untuk Bommer mencipta semula suaranya menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai pengganti selepas dia meninggal dunia.
Usahawan pemula berusia 61 tahun itu bekerjasama dengan rakannya di Amerika Syarikat (AS), Robert LoCascio, ketua pegawai eksekutif platform legasi berkuasa AI, Eternos.
Dalam masa dua bulan, mereka membina ‘versi AI yang komprehensif dan interaktif’ bagi Bommer, pelanggan pertama syarikat itu.



Eternos, yang mendapat namanya daripada perkataan Itali dan Latin untuk ‘abadi’, berkata bahawa teknologinya akan membolehkan keluarga Bommer ‘terlibat dengan pengalaman dan pandangan hidupnya’.
Ia adalah antara beberapa buah syarikat yang telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam apa yang menjadi ruang semakin berkembang untuk teknologi
AI berkaitan kedukaan (akibat kehilangan orang tersayang).
Salah sebuah syarikat pemula yang paling terkenal dalam bidang berkenaan, StoryFile yang berpangkalan di California, membolehkan orang ramai berinteraksi dengan video pra-rakam dan menggunakan algoritmanya untuk mengesan jawapan paling relevan kepada soalan yang dikemukakan oleh pengguna.
Syarikat lain, dinamakan HereAfter AI, menawarkan interaksi serupa melalui ‘Avatar Kisah Kehidupan’ yang boleh dibuat pengguna dengan menjawab gesaan atau berkongsi cerita peribadi mereka sendiri.
Terdapat juga ‘Projek Disember’, bot sembang yang mengarahkan pengguna mengisi soal selidik yang menjawab fakta penting tentang seseorang dan sifa-sifat mereka, kemudian membayar AS$10 untuk mensimulasikan perbualan berasaskan teks dengan watak itu.
Walaupun sesetengah orang telah menerima teknologi berkenaan sebagai cara untuk mengatasi kesedihan, yang lain berasa tidak senang tentang syarikat-syarikat yang menggunakan AI untuk cuba mengekalkan interaksi dengan mereka yang telah meninggal dunia. Yang lain bimbang ia boleh menyukarkan proses berkabung kerana tiada sebarang pengakhiran.
Katarzyna Nowaczyk-Basinska, seorang penyelidik di Pusat Kecerdasan Masa Depan di Universiti Cambridge yang bersama-sama mengarang kajian mengenai topik itu, berkata bahawa tidak banyak yang diketahui tentang kemungkinan akibat jangka pendek dan
jangka panjang menggunakan simulasi digital untuk orang mati pada skala besar. Jadi buat masa ini, ia kekal sebagai ‘percubaan tekno-budaya yang luas’.
“Apa yang benar-benar membezakan era ini, bahkan tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah panjang pencarian manusia untuk keabadian, ialah buat pertama kalinya, proses menjaga orang mati dan amalan keabadian disepadukan sepenuhnya ke dalam pasaran kapitalis,” kata Nowaczyk-Basinska.
Bommer, yang hanya mempunyai beberapa minggu lagi untuk hidup, menolak tanggapan bahawa mencipta bot sembangnya didorong oleh keinginan untuk menjadi abadi. Dia menyatakan bahawa jika dia menulis memoir yang boleh dibaca oleh semua orang, ia akan menjadikannya lebih abadi daripada versi AI dirinya.
BERSEDIA UNTUK KEMATIAN
Versi AI Bommer yang dicipta oleh Eternos menggunakan model dalaman serta model-model bahasa luaran yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat teknologi utama seperti Meta, OpenAI dan firma Perancis, Mistral AI, kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, LoCascio yang sebelum ini bekerja dengan Bommer di sebuah syarikat perisian bernama LivePerson.
Eternos merekodkan pengguna yang bercakap 300 frasa seperti ‘Saya sayang awak’ atau ‘pintu terbuka’, dan kemudian memampatkan maklumat-maklumat tersebut melalui proses pengkomputeran dua hari yang merakam suara seseorang.
Pengguna boleh terus melatih sistem AI dengan menjawab soalan-soalan tentang kehidupan mereka, pandangan politik atau pelbagai aspek personaliti mereka.
Suara AI itu, yang menelan belanja $15,000 untuk disediakan, boleh menjawab soalan dan bercerita tentang kehidupan seseorang tanpa memberikan jawapan yang telah dirakamkan.
Hak undang-undang untuk AI itu adalah milik orang yang ia tiru dan boleh dianggap seperti aset dan diturunkan kepada ahli keluarga lain, kata LoCascio. Syarikat teknologi ‘tidak boleh mendapatkannya’.
Oleh sebab masa telah semakin suntuk untuk Bommer, dia telah menyuarakan frasa dan ayat kepada AI itu, semuanya dalam bahasa Jerman, “untuk memberi peluang kepada AI bukan sahaja untuk mensintesiskan suara saya dalam mod rata, tetapi juga untuk menangkap emosi dan mood dalam suara itu,” jelas Boomer.
Bot suara AI mempunyai sedikit persamaan dengan suara Bommer, walaupun ia tidak memasukkan ‘hm’ dan ‘eh’ serta jeda pertengahan ayat irama semula jadinya.
Duduk di atas sofa dengan tablet dan mikrofon dilekatkan pada komputer riba di atas meja kecil di sebelahnya dan ubat penahan sakit dimasukkan ke dalam badannya dengan titisan intravena, Bommer membuka perisian yang baru dicipta dan berpura-pura menjadi isterinya, untuk menunjukkan bagaimana ia berfungsi.
Dia bertanya bot suara AI dirinya sama ada dia ingat tarikh mereka pertama kali keluar bersama 12 tahun lalu.
“Ya, saya ingat sangat-sangat,” suara di dalam komputer menjawab. “Kita bertemu dalam talian dan saya benar-benar ingin mengenali awak. Saya mempunyai perasaan bahawa
awak akan sesuai dengan saya – akhirnya, itu 100 peratus disahkan.”
Bommer teruja dengan personaliti AI dirinya dan berkata, ia hanya menunggu masa sehingga suara AI akan berbunyi lebih seperti manusia dan lebih seperti dirinya. Pada masa hadapan, dia membayangkan bahawa akan ada juga avatar dirinya dan suatu hari nanti ahli keluarganya boleh pergi menemuinya di dalam bilik maya.
Bagi isterinya yang berusia 61 tahun, dia tidak fikir ia akan menghalangnya mengha-dapi kehilangan.
“Fikirkan ia terletak di suatu tempat dalam laci, jika awak memerlukannya, awak boleh mengeluarkannya, jika tidak memerlukannya, simpan sahaja di sana,” kata Boomer kepada isterinya ketika dia datang untuk duduk di sebelahnya di sofa.
Tetapi Anett Bommer sendiri lebih teragak-agak tentang perisian baharu itu dan sama ada dia akan menggunakannya selepas kematian suaminya.
Pada masa ini, dia lebih berkemungkinan membayangkan dirinya duduk di sofa dengan segelas wain, memeluk salah satu baju sejuk lama suaminya dan mengingati suaminya berbanding merasakan keinginan untuk bercakap dengannya melalui bot suara AI, sekurang-kurangnya tidak semasa tempoh pertama berkabung.
“Namun, siapa tahu bagaimana keadaannya apabila dia sudah tiada,” katanya sambil mengambil tangan suaminya dan memandangnya sekilas. – AP

