SINGAPURA, 18 SEPT – Max Verstappen menegaskan bahawa ‘perjuangan belum berakhir’ ketika Red Bull bersiap menghadapi Grand Prix (GP) Singapura minggu ini buat kali pertama dalam tempoh dua setengah tahun mereka tercicir daripada kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia Formula 1 (F1).
McLaren kini mendahului dengan kelebihan 20 mata selepas kemenangan cemerlang Oscar Piastri di GP Azerbaijan, yang disertai dengan insiden perlanggaran Sergio Perez dengan Carlos Sainz, menyebabkan kedua-dua mereka terbabas ke dinding.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris, yang memulakan perlumbaan di tempat ke-15 namun berjaya menduduki tempat ke-4, kini semakin menghampiri Verstappen dalam kedudukan pemandu.
Juara dunia tiga kali itu masih mempunyai kelebihan 59 mata dengan berbaki tujuh perlumbaan dan tiga perlumbaan pecut, yang menawarkan maksimum 207 mata keseluruhannya.
Verstappen memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan pertama musim ini tetapi gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlumbaan terakhir, di mana McLaren, Ferrari dan Mercedes telah berjaya menjuarai beberapa perlumbaan.
Penasihat berpengaruh Red Bull, Helmut Marko, menyatakan selepas Baku bahawa mereka tiada peluang untuk mempertahankan kejuaraan F1, namun Verstappen masih tidak berputus asa.
“Kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan dan perjuangan ini belum selesai,” tegas Verstappen selepas menduduki tempat kelima.
“Kami menang atau kalah sebagai satu pasukan dan kami tidak akan berputus asa. Semudah itu.”
Namun, sejarah menunjukkan bahawa nasib Verstappen mungkin tidak berubah di Litar Marina Bay yang tidak menentu hujung minggu ini. Red Bull sering kali bergelut di bawah lampu neon Singapura. – AFP