MEXICO CITY, 31 OKT – Juara dunia dua kali, Max Verstappen berkata, kombinasi permulaan pantas dan strategi tayar Red Bull memainkan peranan dalam kemenangan ke-14 dirinya musim ini di Grand Prix Mexico.
Pemandu 25 tahun dari Belanda itu, yang memastikan kejuaraan pengeluar buat Red Bull pada perlumbaan sebelumnya di Texas, bermula sempurna dari petak utama ke-17 kariernya. Dia melebarkan jarak dengan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes, dan hanya melepaskannya ketika hentian pit pusingan kesembilan sebelum kembali mengejar untuk kemenangan selesa.
“Ia (pecutan awal) membantu saya untuk kekal di depan sepanjang perlumbaan.
“Sudah tentu, kami juga mempunyai strategi berbeza dengan kereta-kereta lain – tetapi hasilnya memberangsangkan. Kelajuan kereta cukup bagus.
“Kami terpaksa memberi tumpuan lebih terhadap tayar kerana kami menggunakan tayar medium agak lama.
“Suasana perlumbaan sangat menakjubkan dan kami suka datang ke sini. Ia tahun yang hebat setakat ini. Kami amat seronok dan akan terus berusaha,” kata Verstappen.
Red Bull bermula dengan tayar lembut dan bertukar ke medium – strategi yang membuahkan hasil terutama ke atas pesaingnya dari Mercedes, yang bergelut ketika menukar tayar medium kepada keras.
“Kami tersilap hari ini,” kata bos Mercedes, Toto Wolff. Verstappen kini mengatasi rekod 13 kemenangan dalam semusim yang dipegang dua pelumba Jerman – juara tujuh kali Michael Schumacher dan juara empat kali Sebastian Vettel. – AFP
