Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Verstappen jaguh GP Styrian

    SPIELBERG, AUSTRIA, 28 JUN – Max Verstappen mengukuhkan kedudukannya dalam Formula Satu selepas mencatatkan kemenangan di Grand Prix Styrian kelmarin dengan pencabar terdekatnya, Lewis Hamilton di tempat kedua.

    Pemandu kelahiran Belanda itu memulakan perlumbaan dari petak hadapan bersama pasukan Red Bull dan mendahului perlumbaan dari awal sehingga penamat dan berada 35 saat di hadapan pemandu Britain, Hamilton, yang merupakan juara bertahan bersama pasukan Mercedes.

    Valtteri Bottas menduduki tempat ketiga untuk pasukan Mercedes, diekori rapat oleh pemandu Red Bull dari Mexico, Sergio Perez. Verstappen mendahului perlumbaan dari awal sehingga penamat buat kali ketiga musim ini ketika dia meningkatkan kedudukan mendahului Hamilton kepada 18 mata sementara Red Bull, ditaja oleh syarikat dari Austria, melebarkan kedudukan mereka di kejohanan.

    “Sukar dipercayai. Kereta yang dipandu sangat hebat,” kata Verstappen menerusi radio pasukan selepas menamatkan perlumbaan. “Satu lagi kemenangan di tempat sendiri, saya rasa sangat hebat.

    “Ia kelihatan sangat bagus,” katanya selepas keluar dari keretanya. “Kami hanya perlu terus mengasak lebih hebat dan saya yakin kami mampu melakukan tugas dengan baik sekali lagi.”

    Hamilton menamatkan perlumbaan dengan meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat memintas Verstappen selepas sekali lagi Mercedes gagal mengejar kepantasan Red Bull, meskipun dia meraih mata bonus kerana catatan masa terpantas. “Terasa kesunyian berlumba,” Hamilton berkata. “Saya cuba untuk mengejar mereka tetapi kepantasan yang mereka miliki – mereka jelas sekali membuat penambahbaikan yang besar. Mustahil untuk mengejar mereka.

    “Mereka berjaya berada di hadapan dalam setiap pusingan dan pada laluan lurus kami jauh ketinggalan. Namun demikian, kami meraih mata yang baik dan sebagai sebuah pasukan kami hanya perlu bekerja keras,” kata Hamilton. – AFP

    Reaksi Max Verstappen meraikan kemenangan di atas podium di Grand Prix Styrian, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda