Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Verstappen juara GP Azerbaijan

    BAKU, 21 SEPT – Max Verstappen meraih kemenangan dari petak hadapan sehingga garisan penamat dalam Grand Prix (GP) Azerbaijan hari ini selepas pendahulu kejohanan, Oscar Piastri, terlibat kemalangan pada pusingan pembukaan di litar jalan raya yang berliku.
     
    Rakan sepasukan Piastri di McLaren dan pesaing terdekat, Lando Norris, gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang, hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan mengurangkan jurang di puncak kedudukan kepada 25 mata.
     
    George Russell dari Mercedes, yang berdepan masalah kesihatan sepanjang hujung minggu, mempamerkan aksi cemerlang untuk naik dari tempat kelima ke podium kedua, manakala Carlos Sainz mencatat podium pertama untuk Williams.
     
    Juara dunia empat kali, Verstappen, menjadi pelumba terbaik sepanjang hujung minggu, memulakan perlumbaan dengan lancar sementara yang lain bertembung dan tersentuh, seterusnya meraih kemenangan ke-67 dalam kariernya. 
     
    Kemenangan itu adalah yang keempat musim ini, selepas kejayaan di Monza dua minggu lalu.
     
    McLaren pula mengalami hujung minggu yang mengecewakan. Piastri menghadapi malam ngeri selepas merempuh penghadang pada pusingan pembuka selepas terkandas di grid berikutan permulaan yang salah. Piastri terbabas di selekoh Lima, melanggar tembok di selekoh Enam. Dia tidak cedera, tetapi kemalangan itu menamatkan rekod 34 perlumbaan berturut-turut mencatat mata bagi pelumba Australia berusia 24 tahun itu.
     
    Norris bermula di petak ketujuh tetapi kehilangan satu kedudukan pada pusingan pembukaan. Walaupun berjaya menempatkan diri dalam enam pelumba teratas, pitstop yang tidak lancar menyebabkan dia kehilangan beberapa kedudukan, yang mungkin memberi impak dalam perebutan kejuaraan. – AFP 
     
    Pemandu Max Verstappen melintasi garisan penamat untuk memenangi GP F1 Azerbaijan di Litar Baku City di Baku kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda