AUSTIN, 20 OKT – Max Verstappen terus memberi tekanan ke atas McLaren dan mengurangkan satu lagi kelebihan Oscar Piastri dalam kejohanan tahun ini setelah menjuarai kejayaan cemerlang di Grand Prix Amerika Syarikat (GP AS) kelmarin.
Dalam keadaan yang mendebarkan, juara dunia empat kali Red Bull mendahului dari petak pertama sehinggan ke lambaian bendera terakhir untuk berada 7.959 saat di hadapan Lando Norris dari McLaren yang memburu gelaran serta meninggalkan pemandu Ferrari, Charles Leclerc di tempat ketiga, 4.041 saat di belakang.
Pendahulu kejuaraan Australia, Oscar Piastri dari McLaren pula menduduki tempat kelima.
Ia merupakan kemenangan yang keempat bagi Verstappen di Texas dan ketujuh di bumi Amerika, serta yang kelima tahun ini dan yang ke-68 dalam kariernya.
Ia juga, bagi Verstappen, perlumbaan keempat berturut-turut yang mana tewaskan kedua-dua jentera McLaren.
Verstappen telah mengurangkan kelebihan 104 mata Piastri yang mendahuluinya menjadi 40 dengan baki lima perlumbaan.
Sementara, juara tujuh kali, Lewis Hamilton pula berada di tempat keempat dalam Ferrari kedua di hadapan Piastri dan George Russell dari Mercedes.
Verstappen berkata: “Ia adalah hujung minggu yang sukar dipercayai untuk kami. Saya tahu ia tidak akan mudah dan jarak antara kami begitu dekat. Tetapi tugas pertama saya berjaya.
“Sekarang kami mempunyai peluang untuk terus bersaingdan kami hanya perlu teruskan persembahan yang sama pada semua hujung minggu hingga akhir musim dan lihat apa yang berlaku. Ia mengujakan. Kami hanya perlu mengekalkan momentum,” tambahnya.
Norris pula berasa lega untuk merampas tempat kedua selepas menghabiskan sebahagian besar masa berlumba untuk memintas Leclerc.
“Saya mengambil masa yang cukup lama! Ia adalah pertempuran yang baik dengan Charles, dia berjuang dengan gigih. Ia sukar tetapi saya gembira untuk menduduki tempat kedua.”
Verstappen kini mempunyai 306 mata dalam perlumbaan kejuaraan di tempat ketiga di bawah Piastri dengan 346 mata dan Norris dengan 332. McLaren telah pun memenangi gelaran pembina untuk tahun kedua berturut-turut. – AFP


