JEDDAH, 20 APRIL – Max Verstappen bakal memulakan Grand Prix Arab Saudi hari ini dari petak pertama bersama pemandu McLaren, Oscar Piastri, ketika kedua-duanya berusaha merampas kedudukan pendahulu Kejuaraan Formula Satu daripada Lando Norris.
Juara dunia empat kali itu mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan kelmarin, sekali gus meraih tempat pertama buat kali kedua dalam tiga perlumbaan musim ini, manakala Norris hanya layak di tempat ke-10 selepas terlanggar dinding.
Verstappen berharap dapat mengulangi kejayaan di Jepun dua perlumbaan lalu, apabila dia bermula di petak pertama dan berjaya menahan asakan dari jentera McLaren. Namun begitu, dia berpendapat jentera Red Bull mungkin kekurangan kelajuan untuk mengekalkan kelebihan dalam perlumbaan penuh di bawah cuaca panas Arab Saudi.
Ia merupakan perubahan ketara berbanding prestasinya yang kurang memberangsangkan minggu lalu di Grand Prix Bahrain, apabila jentera Red Bull dilihat ketinggalan dari segi kelajuan.
George Russell, yang akan bermula dari petak ketiga untuk Mercedes, berkata perlumbaan mungkin ditentukan seawal selekoh pertama.
Sekiranya Piastri berjaya mendahului di permulaan, dia berpeluang untuk meraih kemenangan dominan seperti di Bahrain minggu lalu. Namun, sekiranya Piastri perlu bersaing lebih lama untuk memotong Verstappen, perlumbaan dijangka menjadi lebih sengit.
Sementara itu, Norris menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik bagi mengurangkan saingan peluang kejuaraannya. – AP
