SAKHIR, BAHRAIN, 28 MAC – Max Verstappen semalam melengkapkan kesemua tiga sesi latihan Grand Prix Bahrain dengan menewaskan juara bertahan, Lewis Hamilton menjelang kelayakan.
Memandu dengan lancar jentera Red Bull miliknya, pemandu Belanda itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 30.577 saat pada minit terakhir bagi mengatasi juara tujuh kali dari Mercedes, Hamilton dengan 0.739 saat.
Ia adalah bukti jelas kelebihan dimiliki pemandu itu pada pra musim, menyebabkan Mercedes perlukan tenaga tambahan dalam sesi kelayakan yang dijadualkan dalam keadaan lebih sejuk tengah malam ini.
Pierre Gasly menduduki tempat ketiga bersama jentera AlphaTauri di depan Valtteri Bottas yang memandu jentera kedua Mercedes, Sergio Perez bersama Red Bull dan Carlos Sainz berada di tangga keenam bersama jentera Ferrari.
Kimi Raikkonen memenangi tempat ketujuh bersama jentera Alfa Romeo di depan pemandu Alpine, Esteban Ocon, Lance Stroll bersama Aston Martin dan Daniel Ricciardo dari McLaren.
Bekas juara, Sebastian Vettel dan Fernando Alonso masing-masing berada di tempat ke-14 dan 15 bersama Aston Martin dan Alpine manakala Mick Schumacher, anak kepada juara dunia tujuh kali, Michael, ke-18 bersama Haas.
Selepas mesyuarat panjang bos pasukan untuk membincang pengenalan perlumbaan pecutan pada tahun ini, sesi bermula dalam cuaca panas dan kering dengan suhu 39 darjah dan litar pada 49 darjah Celsius.
Pemandu Jepun Yuki Tsunoda dari Alpha Tauri, berharap dapat mengambil kesempatan ke atas hari pembukaan, merupakan satu-satunya pemandu yang disingkirkan sebelum Bottas menyertai selepas 11 minit. – AFP
