SUZUKA, 6 APRIL – Juara dunia empat kali, Max Verstappen mempamerkan pemanduan dominan dari petak utama hingga ke garisan penamat untuk meraih kemenangan pertama musim 2025 dalam Grand Prix Jepun hari ini, diikuti pemandu McLaren, Lando Norris, di tempat kedua.
Pemandu Red Bull dari Belanda itu menamatkan perlumbaan di Litar Suzuka dengan kelebihan masa 1.5 saat di hadapan Norris, yang berjaya menyekat rakan sepasukan McLarennya dari Australia, Oscar Piastri, di tempat ketiga.
Kemenangan di litar yang bermula lembap tetapi semakin kering itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut Verstappen di Jepun, sekaligus merapatkan jurang dalam kejuaraan pemandu kepada hanya satu mata dengan pendahulu, Norris.
Norris kini mengumpul 62 mata selepas tiga perlumbaan, diikuti rapat oleh Verstappen dengan 61 mata, manakala Piastri berada di tempat ketiga dengan 49 mata.
“Ia satu perlumbaan yang sukar. McLaren benar-benar memberi tekanan,” kata Verstappen.

“Ia menyeronokkan tapi tidak mudah menjaga tayar. Saya amat gembira. Bermula dari petak utama menjadikan kemenangan ini mungkin.”
Sementara itu, Charles Leclerc (Ferrari) menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti dua pemandu Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli.
Lewis Hamilton (Ferrari) menduduki tempat ketujuh, diikuti Isack Hadjar (RB), Alex Albon (Williams), dan Oliver Bearman (Haas).
Yuki Tsunoda, dalam perlumbaan pertamanya untuk Red Bull mengganti Liam Lawson, menamatkan saingan di tempat ke-12 selepas bermula dari petak ke-14 dalam perlumbaan di tanah airnya. Lawson, yang memandu untuk RB, menamatkan perlumbaan di tangga ke-17.
Norris berkata perlumbaan ditentukan sejak sesi kelayakan, apabila Verstappen mencatat masa terbaik untuk merebut petak utama pertama musim ini, sekali gus memecahkan rekod litar.
“Max memandu dengan sangat baik hari ini, tiada kesilapan,” kata Norris yang memulakan perlumbaan dari petak kedua.
“Perlumbaan ini sangat sengit dari awal hingga akhir, tapi tiada ruang untuk kami memintas Max.”
Verstappen dan Norris mencetuskan detik tegang di pertengahan perlumbaan apabila kedua-duanya keluar dari hentian serentak. Norris cuba memintas namun Verstappen enggan mengalah, menyebabkan pemandu McLaren itu terbabas sedikit ke rumput sebelum kembali ke trek. – AFP