MONTREAL, 19 JUN – Juara dunia dan pendahulu Formula Satu, Max Verstappen beraksi cemerlang dalam keadaan litar yang licin di Grand Prix Kanada untuk meraih petak hadapan, kelmarin.
Dalam sesi kelayakan yang menghiburkan, pemandu kelahiran Belanda berusia 24 tahun itu mencatatkan masa terbaik bagi satu pusingan iaitu satu minit 21.299 saat, menewaskan pencabar terdekatnya iaitu juara dunia dua kali, Fernando Alonso yang ketinggalan 00.7 saat.
Verstappen akan memulakan perlumbaan ke-150 dari kedudukan hadapan selepas merebut petak pertama ke-15 bagi memburu kemenangan ke-26 dalam kariernya.
Sementara itu, Charles Leclerc akan memulakan perlumbaan hari ini berada di belakang grid.
“Kami kekal tenang, kami tidak melakukan sebarang kesilapan dan sudah setentunya kami gembira untuk berada di petak hadapan dan juga kami dapat kembali di Montreal,” kata Verstappen.
Pemandu berusia 40 tahun, Alonso, membuat aksi yang memukau pada pusingan terakhir sekali gus menceriakan peminat dan memintas rakan senegaranya, Carlos Sainz dari pasukan Ferrari yang melayakkan diri di kedudukan ketiga di hadapan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.
“Perasaan yang sangat hebat. Hujung minggu yang sukar dipercayai setakat ini bagi kami, semuanya disebabkan oleh keadaan litar yang licin,” kata Alonso.
Kevin Magnussen berada di kedudukan kelima untuk berada di hadapan rakan sepasukannya dari Haas, Mick Schumacher, Esteban Ocon dari Alpine dan George Russell dari pasukan Mercedes.
Ia adalah persembahan kelayakan terbaik buat Schumacher sejak beraksi di Formula Satu tahun lalu.
Manakala Daniel Ricciardo berada di kedudukan kesembilan untuk berada di hadapan pelumba Alfa Romeo, Zhou Guanyu. Ini merupakan kali pertama pemandu dari China itu berada di kedudukan 10 teratas.- AFP