Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Verstappen, Red Bull mula era baharu tanpa Horner

    SPA-FRANCORCHAMPS, 24 JULAI – Max Verstappen dan pasukan Red Bull bersedia menetapkan semula musim Formula Satu mereka dengan harapan tinggi apabila melancar era baharu di Grand Prix Belgium hujung minggu ini buat pertama kalinya tanpa Christian Horner sebagai ketua pasukan.

    Tatkala Formula Satu kembali bersambung selepas rehat singkat, pasangan muda dari McLaren, Oscar Piastri dan Lando Norris, bertekad mempertingkat saingan mereka untuk menggantikan Verstappen sebagai juara dunia.

    Norris kini memburu kemenangan ketiga berturut-turut untuk mengejar rakan sepasukannya, Piastri, yang mendahului dengan lapan mata. Namun, perhatian terbesar pastinya tertumpu kepada Red Bull yang kini berada di bawah kendalian ketua baharu, Laurent Mekies dari Perancis.

    Ia merupakan kali pertama dalam sejarah Red Bull, pasukan itu berlumba tanpa kelibat Horner, yang dipecat secara mengejut dua minggu lalu selepas 20 tahun menerajui kejayaan pasukan – termasuk membawa Verstappen meraih empat kejuaraan dunia berturut-turut dari 2021 hingga 2024.

    Pengganti Horner, Mekies, yang dinaikkan pangkat daripada pasukan junior Racing Bulls, berdepan cabaran besar bukan sahaja dalam mengekalkan prestasi Red Bull di litar berkelajuan tinggi Spa-Francorchamps di Ardennes, tetapi juga membawa kestabilan selepas melalui tempoh yang dipalit kontroversi.

    Verstappen, yang dilahirkan di Belgium, kini dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes pada musim 2026. Walaupun Horner kekal berdiam diri selepas pemecatannya, Verstappen telah menyambut baik pelantikan Mekies yang berlatarkan kejuruteraan dan dikenali sebagai tokoh yang mengelak konfrontasi serta perbalahan dalaman.

    Pelantikan Mekies turut menamatkan spekulasi selama 18 bulan yang membelenggu Red Bull – termasuk siasatan terhadap Horner atas dakwaan salah laku, kehilangan kejuaraan konstruktor kepada McLaren, serta penghijrahan beberapa anggota penting pasukan.

    “Saya kembali ke kilang minggu lalu untuk menghabiskan masa bersama pasukan di simulator,” kata Verstappen dalam kenyataan media pasukan yang tidak menyebut secara langsung tentang pemergian Horner. – AFP

    Max Verstappen akan meneruskan era baharu Red Bull tanpa bekas ketua pasukan, Christian Horner, di Grand Prix Belgium hujung minggu ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda