IMOLA, ITALI, 19 MEI – Juara bertahan empat kali, Max Verstappen berjaya menewaskan dua pelumba pasukan McLaren untuk memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) keduanya musim ini di Grand Prix Emilia Romagna di Itali Sabtu lalu, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Kemenangan pemandu Red Bull itu menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut Oscar Piastri, yang juga pendahulu kejuaraan yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Sementara rakan sepasukan McLaren, Lando Norris, menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Piastri, yang bermula dari petak pertama, mendapat permulaan baik untuk mengekalkan kedudukannya, sementara Verstappen bergelut dan hampir kehilangan tempat kedua kepada George Russell daripada pasukan Mercedes.
Namun, apabila Piastri kehilangan momentum, Verstappen berjaya memintas Russell dan melakukan gerakan hebat pada pusingan pertama untuk memintas pemandu McLaren tersebut di selekoh kedua.
Dua buah jentera McLaren sukar merapatkan jurang dengan Verstappen, yang turut bernasib baik semasa melakukan hentian pit pertamanya semasa fasa kereta keselamatan maya, masih kekal sebagai pendahulu.
Kemenangan terakhir Verstappen adalah di Grand Prix Jepun pada April lalu. Piastri telah memenangi empat perlumbaan tahun ini, manakala Norris mencatatkan satu kemenangan.
Grand Prix Monaco yang penuh glamor pada 25 Mei adalah perlumbaan seterusnya dalam jadual F1. – Bernama/dpa
