Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ves kuning’ teruskan bantahan

    PARIS, 30 Dis – Pihak polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan ‘ves kuning’ di Paris semalam namun kehadiran semasa bantahan pusingan ketujuh yang telah menggegarkan Perancis nampaknya telah berkurang.

    Beratus-ratus orang yang memakai ves bersimbolik yang menarik perhatian telah berhimpun berdekatan beberapa buah pejabat stesen televisyen kerajaan dan saluran BFM TV di tengah ibu negara, melaungkan slogan ‘Berita Palsu’ dan Presiden Emmanuel Macron untuk meletak jawatan.

    Para pembantah memenuhi landasan trem dan melontar benda ke arah pihak polis yang bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata serta menahan beberapa orang pembantah.

    Beberapa buah kereta turut dibakar di luar pejabat akhbar Le Parisien, namun seorang jurucakap bagi perkhidmatan bomba berkata pihaknya tidak jelas sekiranya kebakaran itu berkaitan dengan bantahan.

    Gas pemedih mata turut dilepaskan di Nantes, barat Perancis dan bantahan dijangka turut berlaku di Lyon, Bordeaux dan Toulouse.

    Para pembantah ves kuning berhimpun dan mengadakan perarakan di jalan-jalan utama di bandar barat Bordeaux, kelmarin. – AFP

    Di bandar selatan Marseille, pihak polis berkata seramai 900 orang pembantah telah berhimpun dan melaungkan slogan ‘Macron, keluar’.

    Bilangan rasmi kehadiran dalam bantahan telah menurun sejak beberapa minggu yang lalu.

    Kerajaan mencatatkan 38,600 orang pembantah pada 22 Disember berbanding 282,000 bagi tunjuk perasaan besar-besaran pertama pada 17 November lalu.

    Namun ketua pergerakan itu telah bertambah di luar kesatuan perdagangan dan kumpulan politik, mengatakan bilangan rendah adalah disebabkan musim perctian dan Januari akan membawa kemunculan semula bantahan di jalan raya.

    Tumpuan bantahan telah berubah daripada kemarahan terhadap cukai minyak kepada kritikan meluas terhadap Macron, yang dituduh para pengkritik tidak memperdulikan kos sara hidup yang semakin meningkat bagi kebanyakan penduduk di bandar kecil dan luar bandar Perancis. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda