Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Veteran perang dunia ke-2 tertua Britain meninggal dunia

    LONDON, 13 JULAI – Veteran Perang Dunia Kedua tertua di Britain, Donald Rose, telah meninggal dunia pada usia 110 tahun, lapor PA Media/dpa.

    Veteran D-Day itu, yang dilahirkan pada malam Krismas tahun 1914, dipercayai merupakan lelaki tertua di Britain.

    Majlis Perbandaran Erewash di Ilkeston, Derbyshire, mengesahkan kematian Rose pada Jumaat, dan pemimpin majlis James Dawson menyifatkannya sebagai ‘wira perang’.

    “Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Donald dan semua yang mengenalinya. Erewash berasa bertuah kerana beliau merupakan  seorang daripada penduduk kami,” kata Dawson.

    Pada Mei lepas, Rose menyertai 45 veteran lain sebagai tetamu kehormat dalam majlis minum petang anjuran Legion Diraja British (RBL) bagi memperingati 80 tahun Hari Kemenangan di Eropah.

    Rose, yang bersama divisyen tentera yang membebaskan kem tahanan Belsen, berkata beliau tidak berpeluang meraikan hari bersejarah itu 80 tahun lepas.

    Donald Rose bergambar di National Memorial Arboretum, menjelang acara peringatan yang dianjurkan oleh Royal British Legion untuk menandakan ulang tahun ke-80 Hari VE, di Alrewas, Staffordshire, England pada 8 Mei lalu. – AP

    “Saya berada di Jerman, di Belsen ketika mendengar berita perjanjian gencatan senjata ditandatangani dan seperti kebanyakan anggota tentera aktif ketika itu, saya tidak sempat meraikannya.

    Kami hanya melakukan apa yang kami fikir betul, dan rasa lega apabila semuanya berakhir. Saya tidak pernah menyangka akan memperingati hari ini pada usia 110 tahun.

    “Majlis bersama Legion Diraja British hari ini sangat bermakna untuk mengenang mereka yang tidak kembali,” katanya.

    Pada bulan yang sama, Datuk Bandar Erewash menyampaikan Anugerah “Freedom of the Borough”  kepada Rose atas keberaniannya semasa Perang Dunia Kedua.

    Menurut majlis berkenaan, Rose menyatakan beliau berasa bangga dan gembira menerima anugerah itu, tetapi merendah diri dengan berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa yang orang lain tidak akan lakukan.”

    Majlis Perbandaran Erewash juga mengibarkan benderanya separuh tiang sebagai tanda penghormatan atas pemergian Rose.

    Berasal dari Westcott, Surrey, Rose menyertai tentera pada usia 23 tahun dan berkhidmat di Afrika Utara, Itali dan Perancis, menurut RBL.

    Beliau menerima beberapa pingat dan turut dikurniakan penghormatan tertinggi Perancis, Legion D’Honneur. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda