Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Veteran sertai misi pulihkan terumbu karang

    KEY WEST, AMERIKA SYARIKAT – Billy Costello berjalan di dek kapal dengan memakai peralatan skuba dan sirip serta kaki kanan palsu, sebelum terjun ke dalam laut.

    Dia adalah sebahagian daripada sekumpulan veteran Tentera Amerika Syarikat (AS) yang cedera dalam pertempuran yang menanam batu karang di terumbu di hujung selatan Florida.

    Misinya ada dua: menyelamatkan karang yang diancam oleh penyakit serta peningkatan suhu laut dan membantu veteran menyembuhkan luka – dari segi fizikal dan emosi.

    Seramai 31 veteran disertai oleh enam penyelam dari Makmal Marin Mote di Key West pada pagi Julai baru-baru ini untuk menawarkan khidmat mereka menanam batu karang di terumbu yang dipanggil Higgs Head.

    Sejak 2011, makmal dan Cabaran Veteran Cedera Pertempuran (CWVC) telah bekerjasama selama seminggu setiap tahun untuk membantu memulihkan terumbu karang, ekosistem utama untuk hidupan marin.

    Tentera veteran AS menanam serpihan mikro karang daripada genotip sama di terumbu untuk membantunya bercantum dan menjadi koloni di luar pantai Key West, Florida. – Gambar AFP
    Seorang saintis mengkaji karang yang disimpan dalam tangki di makmal Mote di Summerland Key. – Gambar AFP
    Seorang anggota CWVC, Billy Costello (kanan), veteran dengan kaki palsu bersedia untuk menyelam untuk menanam karang di sebuah terumbu di luar pantai Key West. – Gambar AFP
    Veteran tentera AS memegang kotak yang digunakan untuk mengasingkan serpihan karang ketika mereka menanam karang di terumbu. – Gambar AFP
    Penyelam mengikis bersih batu karang. – Gambar AFP
    Patrick Wiccans memegang serpihan karang mikro berbentuk hati dalam mulutnya yang disimpannya sebagai cenderahati selepas pemulihan terumbu karang. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Costello, 41, merupakan bekas penyelam untuk Kumpulan Pasukan Khas Ketiga Tentera Darat.

    Pada tahun 2011, ketika dia melalui jalan di Afghanistan, bom meletup sekali gus menghancurkan kaki kanannya. Pada bulan-bulan berikutnya, beliau mendapat tahu tentang CWVC dan menyertai aktivitinya.

    Sekarang, pada waktu pagi di Florida, dia berenang ke tapak yang dipilih oleh saintis Mote, kira-kira setengah batu di luar pesisir.

    CWVC menempatkan veteran yang cedera dalam persekitaran yang mencabar, bekerjasama dengan penyelidik yang memerhati dan mengumpulkan maklumat mengenai mereka untuk membantu meningkatkan rawatan bagi gangguan tekanan selepas trauma, trauma kepala dan keadaan lain.

    “Saya telah mendaki gunung bersama mereka dan saya telah menyelam skuba di lautan dalam,” beritahu Costello kepada AFP.

    “Mereka telah memainkan peranan penting dalam pemulihan saya, membantu saya mengetahui apa yang saya dapat lakukan selepas kehilangan kaki saya.”

    Presiden Mote, Michael Crosby berbangga dengan perkongsian itu.

    “Setiap tahun saya pastikan saya berada di sini bersama lelaki dan wanita yang telah banyak berkorban untuk negara,” katanya.

    “Kini mereka menjalankan misi baharu bersama makmal kami untuk memulihkan terumbu karang ini yang merupakan hutan hujan lautan.”

    Karang inovatif

    Semasa lawatan, veteran mendengar di dalam air untuk mendapatkan arahan daripada pekerja makmal Mote yang menyelam di hadapan mereka, berbekalkan peta di tangan, hingga kedalaman kira-kira empat meter.

    Para saintis meninggalkan kotak di dasar laut yang dibahagikan kepada petak persegi, masing-masing mengandungi serpihan batu karang.

    Penyelam mengambil berus dawai, mengikis bersih kawasan terumbu daripada alga dan kotoran serta menyalutnya dengan resin epoksi. Kemudian mereka mengambil kepingan karang dan melekatnya.

    Dalam masa kira-kira sejam, veteran dan kakitangan institut menanam 1,040 karang berbatu daripada enam spesies berbeza.

    Spesimen tersebut telah ditanam dan dipilih di makmal kerana ia menunjukkan ketahanan yang lebih tinggi terhadap risiko seperti peningkatan suhu air, pengasidan laut dan penyakit, jelas Crosby selepas mengambil bahagian dalam aktiviti menyelam.

    Kaedah pembiakan semula terumbu melibatkan penanaman serpihan mikro batu karang genotip yang sama di ruang kecil. Ketika karang membesar, tisunya bercantum dan menjadi koloni yang mampu membesar dalam saiz 40 kali lebih cepat daripada karang biasa.

    “Dalam dua hingga tiga tahun, kami akan mencipta (bersamaan dengan) karang berusia 50 tahun yang kemudian dapat membiak sendiri,” kata Crosby, yakin spesimen tersebut akan bertahan lama.

    Kembali di pelabuhan, Costello gembira dapat mengambil bahagian dalam aktiviti selam itu.

    “Ini adalah satu rahmat kerana kami mendapat peluang untuk membantu saintis memulihkan terumbu karang,” katanya.

    Walaupun kaki palsunya, yang diumpamakan sebagai sauh, menyukarkannya untuk bergerak di bawah air, dia tetap berasa seronok dalam aktiviti menyelam itu.

    “Ia bagus untuk hati dan jiwa,” katanya. “Terutama apabila awda dikelilingi sekumpulan veteran yang telah mengharungi situasi yang hampir sama serta berjaya mengatasi segala cabaran sukar dan pulih dengan cara yang begitu positif.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda