SOCHI, Rusia, 28 Sept – Sebastian Vettel menolak idea untuk menggunakan pakar psikologi sukan bagi membantunya bersaing dengan Lewis Hamilton dalam usaha memburu gelaran juara dalam perlumbaan Formula Satu (F1), malah dia dan pasukannya, Ferarri menegaskan bahawa mereka tidak akan mengubah rancangan yang diatur sebelum ini.
Juara dunia empat kali dari Jerman itu ketinggalan 40 mata di belakang pemandu Mercedes, Hamilton menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Rusia hujung minggu ini selepas tewas di tangan pemandu Britain itu di Itali dan Singapura. Tetapi, Vettel berkata dia dan pasukannya tidak akan menyerah kalah.
“Saya fikir ia sangat mudah berdasarkan kedudukan kami ketika ini. Kami hanya ketinggalan beberapa mata dan perlu terus mengejar untuk kekal berada di sana,” katanya.
“Ia adalah sasaran kami dan cara paling baik untuk melakukannya adalah menamatkannya sebagai juara dan lebih baik sekiranya kami lebih mendahului berbanding pelumba yang lain. Jadi, perancangan tidak akan berubah. Pada tahap ini, kami cuba untuk memberikan semua yang kami ada dan saya masih percaya kami masih mempunyai peluang.
“Saya fikir kami ada peluang yang cukup baik. Perlumbaan yang sepatutnya kami menangi tetapi kami gagal namun perlumbaan yang tak sepatutnya kami menang, kami menang. – AFP