BUDAPEST, 30 Julai – Sebastian Vettel berkata bahawa dia dan Ferrari sudah menjawab kritikan selepas mengesahkan petak pertama dan kedua Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Hungary, semalam.
Pelumba Jerman berusia 30 tahun itu menyifatkan prestasi jentera dan pasukannya sebagai ‘luar biasa’ dan ia hadir tepat pada masanya selepas dikritik hebat selepas perlumbaan GP Britain, dua minggu lalu.
“Kami bekerja dengan keras. Perlumbaan terakhir jelas bukan sesuatu yang bagus bagi kami. Kami berada di sini dan cuba untuk melakukan yang terbaik.
“Kami gembira sebagai sebuah pasukan dan mengingati di mana kami berada pada 12 bulan lalu. Tugas utama adalah esok (hari ini) kerana kami belum menang apa-apa namun kami gembira.
“Ia hebat namun selepas pertemuan selepas perlumbaan terakhir kami, kami memberikan jawapan di atas litar,” kata Vettel.
Pencabar kejuaraan, Mercedes menikmati kejayaan hebat di GP Britain dengan pelumba tuan rumah, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan diikuti rakan sepasukannya, Valtteri Bottas di tempat kedua.
Vettel berkata, reaksi daripada Ferrari yang mengalami kegagalan tayar di Silverstone sebagai tindak balas terbaik dan menolak pandangan pasukan itu bukan pencabar kejuaraan sebenar.
Pada hari yang panas di Hungaroring, Vettel melakukan catatan terpantas 1 minit 16.276 saat diikuti Raikkonen manakala Bottas di petak ketiga.
Hamilton yang ketinggalan satu mata dalam pemburuan kejuaraan pelumba akan memulakan perlumbaan di petak keempat.
Raikkonen berkaya dia telah membuat beberapa kesilapan di pusingan terakhir.
“Ia sebenarnya tidak bagus,” katanya. “Saya melepaskan peluang. Namun ia masih cukup untuk meraih tempat kedua, tetapi ia agak mengecewakan. Saya rasa dalam keadaan selesa, tetapi saya tidak berjaya menamatkannya dengan baik.” – AFP