Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Via Ferrata Lang Tengah tarikan bagi sukan ekstrem

    KUALA NERUS – Trek mendaki lereng bukit atau via ferrata di Pulau Lang Tengah, Terengganu menjadi tarikan terbaharu untuk peminat sukan ekstrem kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan.

    Via ferrata bermaksud ‘laluan besi’ dalam bahasa Itali, iaitu satu trek khas di permukaan bukit, gunung atau gua menggunakan alat keselamatan lengkap untuk pendaki tiba ke puncak dengan lebih mudah.

    Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata pihaknya yakin kewujudan via ferrata itu melonjakkan lagi industri pelancongan di pulau-pulau peranginan Terengganu khususnya selepas kerajaan membenarkan rentas negeri tidak lama lagi.

    “Biasanya, pelancong datang ke rangkaian pulau di Terengganu untuk menikmati keindahan alam terutama hidupan marin dan terumbu karang di bawah laut melalui aktiviti snorkeling dan selam skuba.

    “Namun kali ini, Pulau Lang Tengah menawarkan produk baharu yang diperkenalkan oleh Summer Bay Resort sejak Mei lepas.

    Kami sentiasa menyokong inisiatif dan kreativiti dicipta oleh pemain industri setempat untuk memperkasa sektor pelancongan negara agar ia cepat pulih bagi mengharungi cabaran pasca-pandemik COVID-19,” katanya.

    Peserta-peserta melalui trek mendaki lereng bukit di Pulau Lang Tengah. Trek yang dikenali sebagai ‘via ferrata’ bermaksud ‘laluan besi’ dalam bahasa Itali merupakan trek khas di permukaan bukit, gunung atau gua menggunakan alat keselamatan yang lengkap untuk pendaki tiba ke puncak dengan lebih mudah. –Bernama

    Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin pada sidang media mengenai trek mendaki lereng bukit di Pulau Lang Tengah yang bakal menjadi tarikan terbaharu untuk peminat sukan ekstrem. – Bernama
    Via Ferrata di Pulau Lang Tengah itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menjadi tarikan baharu peminat sukan ekstrem. –Bernama

    Beliau berkata demikian selepas menyertai aktiviti via ferrata sebagai produk baharu pelancongan di Pulau Lang Tengah bersama 16 wakil media Terengganu pelbagai agensi di sini baru-baru ini.

    Berkeluasan 1.72 kilometer persegi, perjalanan ke Pulau Lang Tengah yang terletak antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian itu mengambil masa 45 minit dengan bot dari jeti Merang.

    Ketika ini, hanya dua resort beroperasi di pulau itu menjadikannya sangat ekslusif kerana tidak terlalu ramai pelancong pada satu-satu masa.

    Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Chong Fah Ming berkata via ferrata itu adalah selamat untuk aktiviti pendakian ekstrem dan telah mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

    “Kajian terperinci dan pemasangan trek laluan besi telah dilakukan oleh konsultan berpengalaman dan pihak resort juga menyediakan empat jurupandu terlatih berlesen untuk membimbing pelancong yang berminat melakukan aktiviti ini dengan selamat.

    “Panjangnya hanya 200 meter dan terletak 80 meter dari aras laut, namun ia menjanjikan pengalaman cukup berharga untuk pendaki.

    Kami juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak sukan ekstrem lain dalam masa terdekat sebagai daya tarikan pelancong ke resort ini,” katanya yang membelanjakan lebih RM200,000 untuk membina via ferrata itu.

    Sementara itu, beberapa pengamal media yang berpeluang mencuba aktiviti berkenaan mengakui ia bakal menjadi ‘kegilaan’ peminat sukan lasak terutama dalam kalangan generasi muda termasuk personaliti media sosial YouTuber dan Instafamous.

    Wartawan Sin Chew Jit Poh, Lew I Ling berkata pengalaman kali pertama melakukan aktiviti tersebut sangat menyeronokkan dan beliau teruja untuk mencuba kerana mahu mencabar keupayaan diri.

    “Memang sangat penat kerana ia pengalaman kali pertama. Agak berdebar juga kerana diri seakan ‘tergantung’ di awangan sepanjang trek namun sangat berbaloi melakukannya kerana pemandangan sebaik tiba di puncak sangat mengagumkan.

    “Sebelum ini, saya tidak berminat pergi ke pulau kerana tiada aktiviti yang seronok dilakukan, namun dengan adanya via ferrata, Pulau Lang Tengah sudah menjadi antara destinasi percutian dalam senarai wajib pergi lagi selepas ini,” katanya.

    Bagi wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah pula, beliau memang sudah lama berhasrat melakukan aktiviti tersebut sebaik sahaja mengetahui cadangan pembinaannya dari pengurusan Summer Bay Resort tahun lepas.

    “Sebagai anak jati Terengganu, pasti saya berbangga dengan produk baharu di Pulau Lang Tengah ini dan mahu ia terkenal di seluruh dunia kerana secara tidak langsung bakal memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk sekitar.

    “Tepat tekaan saya kerana sebaik sahaja memuat turun gambar di laman sosial, saya dapat banyak pertanyaan daripada rakan-rakan yang berminat mahu mencuba via ferrata di Pulau Lang Tengah.

    Ini antara sumbangan kecil pengamal media membantu kerajaan melonjakkan semula industri pelancongan negara,” katanya. –Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda