Usahawan sensasi Datuk Seri Vida tampil mempertahankan diri dan menjelaskan perkara sebenar mengenai isu tuntutan hutang oleh sebuah syarikat kontraktor sebelum ini.
Menurut Vida atau Hasmiza Othman, 54, dia sudah pun membayar sebanyak RM3.5 juta kepada syarikat berkenaan bagi projek renovasi sebuah kilang menjadi studio.
Vida bagaimanapun mendakwa hasratnya untuk melihat studio itu siap dalam jangka masa tiga bulan tidak tercapai apabila pihak terbabit menghilangkan diri.
“Semua tidak tahu apa sebenarnya terjadi. Saya minta dia siapkan studio dalam masa tiga bulan, dan sudah pun bayar sepenuhnya.
“Dia minta extra kalau nak cepat, saya bayar penuh sebanyak RM3.5 juta. Bila dapat duit, dia hilang selama tiga bulan dan tidak tahu ke mana.
“Jadi saya hanya berurusan dengan orang bawahan. Apa spesifikasi yang saya minta, tidak dapat. Tandas tiada, elektrik pun tiada,” katanya kepada mStar.
Vida memaklumkan perkara itu ketika ditemui di Nona Superwoman Award 2024 di M World Hotel, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Ditanya mengenai perkembangan terkini acara lelongan barangan di rumahnya, Vida memaklumkan ia ditunda buat sementara waktu.
Malah usahawan berasal Kelantan itu yakin dia berada di pihak benar dan akan perjuangkan perkara tersebut mengikut saluran yang betul.
“Saya reda dan saya yakin di pihak yang benar. Ada ujian yang dilalui kerana tuhan nak bagi ganjaran. Saya dah buat macam-macam usaha, Insya-Allah sekarang saya tawakal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Vida juga sempat berkongsi tips untuk menjadi usahawan berjaya adalah tidak boleh menipu orang lain.
“Kita ni kalau nak berniaga, jangan tipu orang lain. Tidak berkat (perniagaan),” ujarnya.
Pada 25 November lalu, mStar melaporkan aset milik Vida di kediamannya yang terletak di Persiaran Bukit Meru, Ipoh Perak terpaksa disita susulan tidak membayar hutang lebih RM1 juta kepada kontraktor yang dilantik iaitu Ah Design Communication.
Hutang tersebut adalah berkenaan pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada tahun 2018. – Agensi