BARCELONA, 7 Ogos – Selepas gagal merangkul trofi Liga Juara-Juara bersama Juventus dan Bayern Munich, Arturo Vidal berusaha untuk melakukannya bersama Barcelona.
Pemain berusia 31 tahun dari Chile itu bersama skuad Bayern yang disingkirkan oleh Real Madrid dua musim lepas tetapi menurutnya, beliau tidak ada yang mahu dibuktikan kepada pesaing utama pasukan baharunya itu.
“Saya tidak tahu jika saya masih mempunyai perkara yang belum selesai dengan Madrid tetapi saya akan melakukan untuk Liga Juara-Juara, itu matlamat saya,” kata Vidal kelmarin semasa didedahkan kepada umum. “Saya harap saya dapat mencapat objektif itu di sini bersama Barcelona. Kita lihat apa yang berlaku apabila beraksi menentang Madrid.”
Bayern disingkirkan oleh Madrid pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada 2017 dan separuh akhir pada 2018. Awal tahun ini, Vidal tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap Real Madrid dengan memuat naik kenyataan yang mengkritik pasukan itu dan berkata kemenangan itu terhasil daripada keputusan pengadil yang teruk.
“Saya bukan anti-Real Madrid,” kata pemain Chile itu. “Bemula sekarang, saya akan menentang pesaing yang beraksi menentang Barcelona.”

Pada 2016, Bayern disingkirkan oleh Atletico Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
Vidal menyertai Bayern dari Juventus pada 2015, tidak lama selepas kelab Itali itu tewas kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara.
Juventus dan Vidal mara ke peringkat suku akhir kejohanan Eropah itu pada 2013 dan tewas keapda Bayern.
Vidal merupakan antara pemain penting dalam skuad Chile apabila negara Amerika Selatan itu menjuarai Copa America pada 2015 dan 2016. Beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad Chile yang berakhir di tempat kedua pada Piala Konfederasi di Rusia tahun lepas.
Barcelona juga menandatangani Arthur, Malcom dan Clement Lenglet sementara Andres Iniesta, Paulinho, Lucas Digne dan Gerard Deulofeu berpindah ke kelab lain.
Kelmarin, Ivan Rakitic, Samuel Umtiti, Luis Suarez, Philippe Coutinho, Yerry Mina dan Thomas Vermaelen kembali menyertai skuad selepas beraksi untuk Piala Dunia. Sementara Lionel Messi, Sergio Busquets, Gerard Pique, Jordoi Alba dan Ousmane Dembele sudah melapor diri.
Barcelona merupakan juara bertahan liga Sepanyol. – AP