Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Video muzik Ayda Jebat kurang dapat sambutan

    Sejak beberapa hari yang lalu, di media sosial hangat memperkatakan mengenai video muzik Ayda Jebat yang terbaharu, Parah yang telah dimuat pada penghujung Disember 2020.

    Biarpun trending dan mendapat lebih daripada 3 juta tontonan, namun menerusi carian terkini Murai.my mendapati terdapat lebih dari 100 ribu tanda tidak suka (dislike) berbanding tanda suka (like) yang hanya mendapat 35 ribu reaksi.

    Difahamkan, video muzik berkenaan mendapat reaksi seumpama itu adalah bermula daripada teguran yang dibuat oleh seorang pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun. Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Ustazah Asma’ baru-baru ini, dia akui pernah mengagumi bakat yang dimiliki oleh Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat,29.

    Namun, berikutan video muzik Parah yang disifatkan seperti keterlaluan dengan menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel serta rentak dan lenggok tarian yang menggairahkan seperti tarian lucah, pendakwah itu akui terkejut.

    “Buat adinda artis yang dihormati dan dikasihi. Saya mendapat satu pertanyaan tentang diri seorang artis, lalu untuk kali pertama saya singgah di Page Rasmi beliau. Sungguh saya pernah suka dengan bakat dan dirinya.

    Video muzik Ayda Jebat yang terbaharu, Parah terdapat lebih dari 100 ribu tanda tidak suka (dislike) berbanding tanda suka (like) yang hanya mendapat 35 ribu reaksi. – Agensi

    “Sungguh, saya terkejut dan terduduk sayu, atau mungkin kerana saya yang ketinggalan banyak video klip muzik seumpama ini. Namun seingat atau setahu saya, belum pernah saya melihat video klip muzik yang dihasilkan oleh artis Melayu Islam hingga tahap ini.

    “Ini satu musibah ummah yang parah, tatkala kita masih dalam belenggu cengkaman pandemik yang semakin parah, kalian menghasilkan sebuah video klip muzik yang menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian yang menggairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan!” jelas Ustazah Asma’.

    Biarpun begitu, Ustazah Asma’ terlebih dahulu dengan rendah hati memohon maaf kerana melakukan teguran secara terbuka dan masih membuat sangkaan baik terhadap Ayda.

    “Maaf saya lakukan teguran ini secara terbuka, saya lihat sudah ramai yang menegur dan mengkritik video klip tersebut secara terbuka, bahkan di kalangan peminat kamu sendiri mereka rasa tidak senang, teguran di media sosial kamu sendiri juga tidak diendahkan, bahkan dijawab dengan tidak rasa bersalah.

    “Namun saya tetap meletakkan sangkaan bahawa mungkin juga kamu tersilap untuk percaturan kali ini, terutamanya bahagian penari iringan, kerana kamu sendiri penampilan yang tidaklah keterlaluan,” katanya lagi.

    Dalam ruangan komen video muzik itu turut dibanjiri dengan pelbagai respon daripada pengguna yang kecewa melihat aksi-aksi yang dipaparkan selain menasihati Ayda agar lebih berhati-hati pada masa akan datang. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda