MANILA, 2 JULAI – Para pegawai pelancongan di Filipina berasa malu selepas pereka video untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi percutian berkata hari ini mereka telah menggunakan gambar simpanan dari negara lain.
Syarikat pengiklanan DDB Filipina memohon maaf bagi ‘imej tidak wajar’ termasuk menggunakan gambar padi di Indonesia dan pantai di Brazil.
Agensi itu bertanggungjawab menghasilkan kempen pelancongan ‘Love The Philippines’ bernilai AS$900,000 yang dilancarkan pada 27 Jun lalu.
Kementerian Pelancongan mengumumkan lewat kelmarin bahawa mereka sedang menyiasat tuduhan video DDB menggunakan ‘gambar tidak asli’ yang mana video itu kemudiannya dipadam daripada laman Facebook.
Blogger popular Filipina, Sass Rogando Sasot telah menyiarkan dalam Facebook bahawa beberapa imej dalam video kempen itu adalah dari negara lain.
Analisis oleh pasukan Semak Fakta AFP mengesahkan bahawa video itu menunjukkan lokasi-lokasi di Brazil, Indonesia, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu. – AFP


