Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Video tular tiada sekatan perjalanan, tidak benar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Sekatan perjalanan ke luar dan ke dalam negara yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 masih lagi dikuatkuasakan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menegaskan perkara itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, berikutan video tular berkaitan Kembara Borneo Miri/Limbang Part 40 yang mana salah seorang penunggang dalam video itu menyatakan bahawa tidak ada sekatan memasuki sempadan Negara Brunei Darussalam, adalah tidak benar sama sekali.

    “Sekatan perjalanan bagi mana-mana warga asing telah berkuat kuasa bermula 24 Mac 2020 di mana setiap warga asing yang hendak masuk ke negara ini termasuk mereka yang transit, dikehendaki memohon kebenaran daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan melalui info@immigration.gov.bn,” tegasnya.

    “Tanpa kebenaran itu, tidak akan ada warga asing dibenarkan masuk ataupun transit,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menegaskan mengenai video tular mengatakan tiada sekatan memasuki Brunei yang tidak benar sama sekali. – Gambar oleh Syahmi Hassan

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, hasil siasatan yang dijalankan ke atas video tersebut mendapati pengembaraan merentas sempadan itu dilakukan pada 16 Mac 2020 yang lalu.

    “Tarikh tersebut adalah sebelum berkuat kuasanya sekatan-sekatan perjalanan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa di negara ini bagi mengambil tindakan-tindakan bersesuaian ke atas pihak atau individu tertentu berkaitan penularan ini.

    Sehubungan itu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.

    “Di samping itu juga, jabatan memohon mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut supaya menghentikan penyebarannya kerana boleh mengelirukan orang awam,” tambahnya.

    Menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih kepada orang awam merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 yang boleh dikenakan denda $3,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda