Penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano meluahkan rasa bimbang untuk memiliki zuriat kerana khuatir anaknya bakal mewarisi penyakit kanser buah pinggang yang dihidapinya sejak tahun 2019.
Menurut Vidi, 35, dia sentiasa memikirkan risiko genetik yang mungkin akan dialami oleh anaknya kelak.
Malah Vidi juga takut sekiranya tiada siapa yang dapat menjaga anaknya dengan baik jika ditakdirkan mengalami nasib sama sepertinya, lapor mStar.
“Saya takut anak mendapat genetik penyakit ini. Saya tidak boleh berbuat apa-apa.
“Sekarang saya hanya dapat menjaga diri sendiri, tetapi kalau anak mendapat penyakit sama, saya tidak dapat membantu,” katanya.

Vidi meluahkan perkara tersebut dalam episod akhir bersama podcast Podhub sebelum mengumumkan mahu berehat daripada industri seni buat sementara waktu.
Sebelum ini suami kepada pelakon Sheila Dara itu dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram memaklumkan dia mahu memberi fokus kepada pemulihan diri.
Vidi juga kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.
“Saya mengambil keputusan untuk berehat beberapa bulan bagi memberi fokus kepada pemulihan selain mahu menyiapkan album baharu,” ujarnya yang tidak berhenti bekerja sejak 2014.
Untuk rekod, Vidi dan Sheila mendirikan rumah tangga pada Januari 2022. – Agensi

