HANOI, 30 SEPT – Vietnam akan membebaskan hampir 3,800 banduan termasuk warga asing dalam pengampunan terbaharu negara itu, kata kerajaan hari ini.
Vietnam telah mengumumkan sembilan pengampunan khas sejak tahun 2009, membebaskan lebih 92,000 banduan sebelum tarikh pembebasan yang ditetapkan, namun sentiasa mengecualikan aktivis politik.
Mereka yang disabitkan kesalahan kerana ‘cuba menggulingkan’ kerajaan komunis atau ‘keganasan’ tidak layak untuk dibebaskan, menurut pengumuman rasmi pengampunan berkenaan hari ini.
Tahun ini, seramai 3,765 tahanan akan dibebaskan termasuk kira-kira 20 warga asing dari Kemboja, China, Iceland, India, Laos, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Mereka dijangka akan dibebaskan esok dalam satu langkah yang tertunda selepas Hari Kebangsaan Vietnam pada 2 September lalu.
Pengampunan itu dibuat selepas pembebasan awal dua tahanan berprofil tinggi pada pertengahan September, ketika pemimpin tertinggi negara itu, To Lam berkunjung ke AS.
Aktivis alam sekitar, Hoang Thi Minh Hong sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengelak cukai yang berkaitan dengan kumpulan kempen alam sekitarnya, CHANGE.
Pembangkang politik, Tran Huynh Duy Thuc adalah seorang usahawan Internet yang dijatuhi hukuman penjara 16 tahun pada 2010 kerana didakwa cuba menggulingkan rejim.
Pegawai hari ini enggan mendedahkan jumlah keseluruhan banduan yang berada dalam tahanan. Pada Ogos, pihak berkuasa berkata kira-kira 643 warga asing sedang menjalani hukuman penjara di Vietnam. Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata lebih 160 banduan politik sedang ditahan dalam penjara. – AFP