Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam akan hantar vaksin demam babi Afrika ke Filipina

    HANOI, 28 OGOS – Vietnam akan menghantar 150,000 dos vaksin demam babi Afrika keluarannya ke Filipina esok, lapor media kerajaan, walaupun ia belum lagi diluluskan di peringkat antarabangsa.

    Penyakit itu – yang tidak menjejaskan manusia – sangat menular dan membawa maut kepada khinzir, dan wabak itu berpotensi memusnahkan industri daging khinzir, kata pakar.

    Penghantaran vaksin itu, yang dihasilkan oleh AVAC Vietnam (AVAC), adalah sebahagian daripada 600,000 dos yang dipesan oleh kerajaan Filipina, agensi berita Vietnam memetik Pengarah Besar syarikat itu, Nguyen Van Diep sebagai berkata.

    Vietnam meluluskan dua vaksin demam babi Afrika untuk kegunaan domestik pada Julai 2023, dengan mengatakan ia adalah negara pertama yang berbuat demikian.

    Namun kedua-dua vaksin itu tidak diluluskan di peringkat antarabangsa.

    Pada Oktober 2023, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) mengeluarkan kenyataan yang memberi amaran kepada pihak berkuasa veterinar dan industri khinzir tentang ‘risiko daripada penggunaan vaksin substandard.’

    Ia tidak menyebut secara khusus tentang Vietnam.

    Menurut agensi berita Vietnam, Diep berkata bahawa AVAC sudah mengeksport 300,000 dos ke Filipina pada 2023. Laporan media negara lain mengatakan kelompok vaksin ini telah digunakan untuk ‘penilaian’.

    Syarikat itu sedang mendapatkan kelulusan untuk vaksinnya di India, Indonesia, Malaysia, Nepal, Myanmar dan Nigeria. – AFP

    Botol-botol vaksin demam babi Afrika dipaparkan semasa pengumuman vaksin itu di Hanoi pada 3 Jun 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda