Vietnam anjur AMM ke-53 secara maya

HANOI, 8 SEPT – Vietnam akan menganjurkan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-53 (AMM) dan mesyuarat yang berkaitan menerusi sidang video daripada 9-12 September, kata lembaga penganjur dalam  sidang media antarabangsa pada  Isnin.

Nguyen Quoc Dung, wakil Menteri Luar Vietnam, pemimpin ASEAN SOM, dan Ketua Setiausaha Jawatankuasa Nasional ASEAN 2020 yang mempengerusikan acara itu, berkata AMM 53 akan menjadi salah satu sorotan penting kepemimpinan negara ASEAN tahun ini, lapor agensi berita Vietnam (VNA). Vietnam akan menjadi tuan rumah dan pemudah cara perbincangan dengan beberapa isu, termasuk pencegahan dan kawalan COVID-19, rancangan pemulihan pasca pandemik, Dana Tindak Balas COVID-19 ASEAN, dan pemerkasaan wanita.

Sebagai tambahan, Menteri-menteri Luar ASEAN akan membuat persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bakal  berlangsung pada November. Mereka juga akan membincangkan dan bertukar pandangan dengan rakan sejawatan mengenai situasi pandemik COVID-19 dan cabaran penting tradisional dan bukan tradisional serantau dan antarabangsa yang lain. Dung selanjutnya berkata keutamaan telah diberikan untuk mempromosi Komuniti ASEAN yang saling bekerjasama dan proaktif selari dengan tema dan keutamaan untuk tahun ini.

Selain itu, Vietnam juga mengemukakan banyak inisiatif mengenai pencegahan dan kawalan COVID-19 serta pemulihan ekonomi pasca pandemik. – Bernama