Wednesday, July 23, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam antara 10 negara terbaik dunia dalam kesedaran, kesiapsiagaan AI

    HANOI, 22 JULAI – Vietnam melonjak ke tempat keenam daripada 40 negara dalam World AI Index 2025, menandakan penyertaan pertama negara itu dalam kelompok 10 teratas dunia bagi kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap kecerdasan buatan (AI), lapor agensi berita Vietnam (VNA).

    Kedudukan itu, yang dikeluarkan oleh Worldwide Independent Network of Market Research (WIN), adalah berdasarkan data tinjauan dari 40 negara.

    Di Vietnam, tinjauan dijalankan oleh Indochina Research melibatkan 900 responden di empat bandar utama antara Disember 2024 dan Januari 2025.

    Vietnam mencatat skor 59.2 daripada 100, mengatasi banyak negara maju.

    Skor ini adalah purata daripada tujuh penunjuk utama iaitu penggunaan AI, kepercayaan, penerimaan, kecekapan, kebolehgunaan, keselesaan dan minat.

    Gambar Envato

    Negara itu menduduki tempat ketiga dunia dalam kepercayaan terhadap AI dengan 65.6 mata dan tempat kelima dalam penerimaan AI pada 71.6 mata.

    Penunjuk seperti keselesaan dan kecekapan juga melebihi purata global, menunjukkan sikap optimisik yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk bandar Vietnam.

    Namun begitu, penggunaan sebenar AI masih rendah, dengan skor 37.6, menduduki tempat ke-17 daripada 40 negara. Walaupun 60 peratus penduduk di bandar utama pernah mencuba AI, hanya 3 peratus yang menggunakannya setiap hari.

    Hanya 36 peratus rakyat Vietnam menyatakan kebimbangan terhadap AI menghasilkan maklumat palsu seperti deepfake – iaitu peratusan terendah dalam kalangan semua kebimbangan berkaitan AI.

    Laporan itu mencadangkan perluasan akses AI di kawasan luar bandar dan dalam kalangan golongan berusia, mempertingkat pendidikan awam mengenai manfaat AI, serta membina kepercayaan melalui sistem AI yang telus dan selamat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda