Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam bakal hadapi gelombang panas ekstrem 2025

    HANOI, 20 DIS – Vietnam berkemungkinan besar menghadapi gelombang panas ekstrem pada tahun 2025, menurut amaran Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan (NCHMF) dalam satu persidangan pada Rabu bagi menilai aktiviti 2024 dan menyusun keutamaan tahun berikutnya.

    Pengarah NCHMF, Mai Van Khiem, menjelaskan 2024 merupakan tahun mencabar dengan pelbagai bencana alam termasuk kemarau, gangguan air masin, gelombang panas yang teruk, serta hujan lebat yang meluas. Antaranya, Taufan Yagi telah mengakibatkan kerosakan besar dan kehilangan nyawa.

    Mengulas tahun hadapan, beliau menjangkakan suhu global yang terus meningkat akan membawa kepada gelombang panas melampau dan cuaca yang membahang. Fenomena lain termasuk hujan lebat setempat, banjir kilat, tanah runtuh serta peningkatan kekerapan ribut besar.

    Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks, Timbalan Pengarah Pentadbiran Meteorologi dan Hidrologi, Hoang Duc Cuong menekankan keperluan melaksanakan pemodenan.

    “Kami menumpukan kepada ramalan yang lebih awal, terperinci, boleh dipercayai, digital dan mudah diakses secara visual,” katanya.

    Cuong turut menyeru penerapan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) serta mempercepatkan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi. – ANN/Vietnam News

    Pasukan tentera berusaha memadamkan kebakaran hutan yang disebabkan oleh panas melampau di wilayah tengah Quang Binh pada April lalu. – ANN/VIET NAM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda