HANOI, 26 APRIL – Vietnam merekodkan peningkatan jumlah kes keracunan akibat rokok elektronik dan produk-produk rokok yang dipanaskan, lapor Vietnam News hari ini.
Jabatan Pemeriksaan dan Rawatan Perubatan, Kementerian Kesihatan mencatatkan pengambilan produk penghantaran nikotin elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan dalam kalangan golongan muda, selepas beberapa pelajar dimasukkan ke bilik kecemasan kerana keracunan nikotin dan bahan berbahaya lain yang terdapat dalam e-rokok dan rokok yang dipanaskan.
“Menggunakan nikotin semasa remaja boleh menyebabkan kemudaratan pada bahagian otak yang mengawal tumpuan, keupayaan pembelajaran dan mood,” Nguyen Tuan Lam, pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Vietnam, memberitahu Vietnam News.
“Ia juga boleh meningkatkan risiko ketagihan terhadap bahan lain pada masa hadapan.”
E-rokok dan rokok yang dipanaskan juga menimbulkan potensi risiko dan menyumbang kepada penyakit sosial, seperti penyalahgunaan dadah dan tingkah laku ketagihan lain, yang menjejaskan kesihatan dan gaya hidup remaja, kata Kementerian Kesihatan dalam peringatannya.
Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam orang yang menghisap tembakau pada 2022, turun 0.8 peratus berbanding 2015, Vietnam menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara dengan tabiat merokok tertinggi, hanya selepas Indonesia dan Filipina, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Vietnam kini berdepan dengan ca-baran tambahan dalam usaha memerangi merokok kerana kelaziman penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam kalangan me-reka yang berusia 13-15 tahun.
Kira-kira 3.5 peratus dilaporkan
menggunakan e-rokok tahun lepas, meningkat daripada 2.6 peratus pada 2019, menurut laporan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan dan Latihan.
Pihak-pihak berkuasa juga merekodkan penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja dan dewasa muda dengan kira-kira tujuh daripada 100 orang berumur antara 15 dan 24 tahun menggunakan e-rokok. – Xinhua