HANOI, 16 OKT – Perlumbaan Grand Prix Formula Satu 2020 di Vietnam telah dibatalkan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur hari ini, tetapi masih belum ada sebarang berita mengenai perlumbaan yang akan dilangsungkan tahun hadapan.
Dirancang pada awal bulan April, Grand Prix di Hanoi bakal menjadi perlumbaan ketiga bagi musim ini dan julung kali diadakan di negara komunis tersebut.
Tetapi selepas perlumbaan di Shanghai dan Melbourne dibatalkan akibat wabak koronavirus kembali melonjak di seluruh dunia, perlumbaan di Vietnam turut ditunda – menyebabkan musim ini menjadi tidak menentu.
Pengumuman yang dibuat oleh penganjur tempatan mengesahkan bahawa perlumbaan tidak akan dijadualkan semula pada tahun ini.
“Kami tidak dapat menganjurkan siri perlumbaan sukan bermotor yang berprestij di Vietnam pada 2020 disebabkan oleh pandemik COVID-19,” kata Le Ngoc Chi, CEO Badan Grand Prix Vietnam.
“Ia adalah keputusan yang sangat sukar bagi kami semua tetapi ia adalah satu-satunya penyelesaian yang dapat dibuat selepas mengkaji semula semua kriteria keselamatan serta efisien mengikut keadaan semasa.”
Tahun lalu, Vietnam menandatangani perjanjian selama 10 tahun dengan Formula Satu untuk menghoskan kejohanan dan media negara tersebut berkata ia menelan kos sebanyak AS$60 juta setahun.
Bayaran tersebut telah dilunaskan oleh syarikat persendirian terbesar di negara tersebut, VinGroup, yang berharap dapat mengadakan perlumbaan pada waktu malam, bila mana sukan itu sedang berusaha untuk mencapai pasaran baharu di Asia Tenggara.
Vietnam berminat untuk mengadakan sukan perlumbaan bermotor untuk membantu ekonomi negara dan membantu mengubah imej Hanoi sebagai ibu kota negara komunis yang membosankan.
Mereka menegaskan bahawa litar sepanjang 5.565 kilometer di Hanoi itu telah sedia menjelang perlumbaan.
Vietnam mendapat pujian tahun ini selepas menangani pandemik koronavirus, dengan hanya mencatatkan 1,124 kes sahaja – dan tiada jangkitan komuniti lebih dari sebulan.- AFP