Gambar AFP
HA LONG, VIETNAM – Mengelipkan mata dalam cahaya terang pagi yang panas, Vu Thi Thinh duduk di tepi bot kayu kecilnya dan memutik blok polistirena dari perairan tenang Teluk Ha Long di Vietnam.
Sekarang belum pukul 9 pagi, namun timbunan pelampung styrofoam, botol plastik dan tin bir terletak di belakangnya.
Ia merupakan petanda kesan perbuatan manusia yang paling ketara yang telah merosakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang terkenal dengan perairan birunya yang indah dengan pulau-pulau batu kapur yang menjulang tinggi di puncak hutan hujan.
“Saya merasa sangat letih kerana saya mengumpulkan sampah di teluk sepanjang hari tanpa banyak rehat,” kata Thinh, 50, yang telah bekerja hampir sedekad sebagai pemungut sampah.
“Saya perlu melakukan lima hingga tujuh perjalanan di atas bot setiap hari untuk mengumpulkan semuanya,” tambahnya.
Sejak awal Mac, sebanyak 10,000 meter sampah cukup untuk mengisi empat kolam renang Olimpik telah dikutip dari perairan tersebut, menurut lembaga pengurusan Teluk Ha Long.
Masalah sampah ini menjadi sangat parah sejak dua bulan lalu, setelah satu skim untuk menggantikan pelampung styrofoam di ladang ikan dengan alternatif yang lebih mampan tidak menjadi dan para nelayan membuang polistirena yang tidak lagi digunakan ke laut.
Pihak berkuasa mengarahkan 20 kapal, lapan bot dan pasukan dengan puluhan orang untuk melancarkan pembersihan, kata media kerajaan.
Do Tien Thanh, pakar pemuliharaan di Jabatan Pengurusan Teluk Ha Long, mengatakan bahawa pelampung tersebut merupakan isu jangka pendek tetapi mengakui: “Teluk Ha Long sedang mengalami tekanan.”
Lebih dari tujuh juta pengunjung datang melawat kars batu kapur yang menakjubkan di Teluk Ha Long, di pantai timur laut Vietnam, pada tahun 2022.
Pihak berkuasa berharap jumlah tersebut akan meningkat menjadi lapan setengah juta tahun ini.
Tetapi populariti tapak, dan pertumbuhan pesat Ha Long City yang seterusnya kini menjadi rumah kepada kereta kabel, taman hiburan, hotel mewah dan ribuan rumah baharu telah merosakkan ekosistemnya dengan teruk. Pakar pemuliharaan menganggarkan pada asalnya terdapat sekitar 234 jenis batu karang di teluk, namun kini jumlahnya adalah sekitar separuh.
Terdapat tanda-tanda pemulihan dalam dekad yang lalu, dengan liputan batu karang perlahan-lahan meningkat semula dan ikan lumba-lumba yang menjauhkan diri dari teluk sedekad yang lalu, kini kembali dalam jumlah yang kecil setelah larangan penangkapan ikan di bahagian utama tapak warisan tersebut meluaskan sumber makanannya.
Tetapi sisa, plastik dan manusia, masih menjadi kebimbangan besar.
“Terdapat begitu banyak kawasan perumahan besar berhampiran Teluk Ha Long,” kata ahli pemuliharaan Thanh.
“Sisa domestik dari kawasan-kawasan itu, jika tidak ditangani dengan baik, akan memberi kesan besar kepada sistem ekologi, termasuk terumbu karang.
“Bandar Ha Long kini hanya boleh mengendalikan lebih daripada 40 peratus air sisanya,” tambahnya.
Plastik sekali guna kini diharamkan pada bot pelancong, dan lembaga pengurusan Teluk Ha Long berkata penggunaan plastik umum di atas kapal menurun 90 peratus daripada kemuncaknya.
Tetapi sampah yang dihasilkan di daratan masih memenuhi bahagian pantai, dengan pasukan pemungut sampah tidak dapat menghalang pemandangan yang buruk daripada pelancong.
Pham Van Tu, seorang penduduk tempatan dan pemandu pelancong bebas, berkata beliau menerima banyak aduan daripada pengunjung.
“Mereka membaca di media bahawa Teluk Ha Long cantik, tetapi apabila melihat banyak sampah terapung, mereka tidak mahu berenang atau berkanu dan mereka teragak-agak untuk memberitahu rakan dan keluarga mereka untuk berkunjung,” katanya.
Pertumbuhan ekonomi yang pesat, pemodenan bandar dan perubahan gaya hidup di negara komunis Vietnam telah membawa kepada krisis pencemaran plastik, menurut Bank Dunia.
Laporan pada 2022 menganggarkan bahawa 3.1 juta tan sisa plastik dijana setiap tahun, dengan sekurang-kurangnya 10 peratus terlepas ke dalam saluran air, menjadikan Vietnam salah satu daripada lima pencemar plastik terbesar di lautan dunia. Jumlah tersebut dapat meningkatkan lebih daripada dua kali ganda menjelang 2030, Bank Dunia memberi amaran.
Larissa Helfer, 21, yang pergi ke Viet-nam dari rumahnya di Jerman mengatakan bahawa Teluk Ha Long cantik tetapi masalah sampah akan menjadi salah satu kenangan terkuat dalam perjalanannya.
“Biasanya awda (mungkin berkata) ‘Lihat pemandangan itu ! Lihatlah perkampungan nelayan!” dia memberitahu AFP.
Tetapi di sini “awda perlu bercakap tentang sampah, (awda berkata) ‘ya Tuhan lihat botol plastik dan benda-benda di dalam laut.’ Dan ia membuatkan awda sedih,” tambahnya.