Sunday, December 29, 2024
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam cadang mulakan semula projek tenaga nuklear

    HANOI, 13 NOV – Vietnam bercadang untuk memulakan semula rancangan tenaga nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga yang berkembang pesat, kata kerajaan, selepas ia membatalkan dua projek bernilai berbilion dolar pada 2016.

    Negara pesat perindustrian itu, yang memiliki populasi 100 juta orang, bergantung terutamanya kepada arang batu dan hidroelektrik untuk menyokong ekonomi yang berkembang pesat.

    Walaupun bergantung kepada bahan bakar fosil, Vietnam komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, disokong oleh Perkongsian Peralihan Tenaga yang Adil – di mana negara-negara kaya membantu negara-negara membangun beralih kepada tenaga bersih dengan lebih pantas.

    Perdana Menteri Pham Minh Chinh kelmarin memberitahu Dewan Perhimpunan Negara di Hanoi bahawa kerajaan telah meminta pihak berkuasa untuk memulakan semula projek tenaga nuklear.

    Beliau berkata ia adalah untuk “memastikan bekalan tenaga yang mencukupi bagi pembangunan sosio-ekonomi yang pesat dan mampan dalam jangka panjang.”

    “Jika kita bercadang untuk membina senario pertumbuhan ekonomi dengan angka dua digit, keperluan tenaga akan meningkat sebanyak 1.5 kali ganda,” tambahnya.

    Pada akhir 2016, Vietnam membatalkan rancangan untuk dua loji tenaga nuklear bernilai berbilion dolar, dengan alasan faktor alam sekitar dan kewangan.

    Projek tersebut dijadualkan menjadi yang pertama di Asia Tenggara, tetapi dihentikan selepas anggaran kos meningkat dua kali ganda kepada AS$18 bilion. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda